Sebahagian besar Kampung Pantai Sabak ditenggelami air

Keadaan Pantai Sabak yang kini dibenteng menggunakan batuan groin untuk menghalang hakisan ombak. (Gambar kecil: Azam menunjukkan geran tanahnya yang sudah ditelan laut sejak beberapa tahun lalu.)
Keadaan Pantai Sabak yang kini dibenteng menggunakan batuan groin untuk menghalang hakisan ombak. (Gambar kecil: Azam menunjukkan geran tanahnya yang sudah ditelan laut sejak beberapa tahun lalu.)
A
A
A

KOTA BHARU - Suatu ketika dahulu Pantai Sabak di sini terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam dan luar negara kerana kedudukannya hanya empat kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Pantai Sabak sebelum ini mempunyai suasana kampung dipenuhi pepohon kelapa dan memiliki nilai sejarah kerana menjadi kawasan pendaratan tentera Jepun sewaktu menceroboh Tanah Melayu pada 1942.

Namun semua keindahan dan elemen sejarah itu kini tinggal menjadi lipatan sejarah juga apabila hakisan yang teruk sejak lebih 10 tahun lalu menenggelamkan sebahagian besar kawasan berkenaan.

Daratan lenyap dalam laut

Penghulu Mukim Sabak, Azam Manan ketika ditemui wartawan Sinar Siasat berkata, kini pemandangan indah itu lenyap dibaham ombak sekitar tahun 1990-an yang telah menenggelamkan 500 meter pantai dari daratan.

Beliau berkata, penempatan baru diberikan oleh kerajaan negeri sekitar 1998 untuk menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal mereka akibat hakisan Pantai Sabak.

Katanya, di penempatan baharu itu terdapat 39 buah rumah penduduk yang dipindahkan dari pesisir Pantai Sabak bermula penghujung 1990-an sehingga awal tahun 2000.

“Dahulu kebanyakan penduduk di sini adalah nelayan namun kini ramai yang bekerja sendiri dan makan gaji sahaja. Perpindahan penduduk ini berlaku secara berperingkat mengikut kemusnahan rumah masing-masing. Namun masih ada lagi

penduduk yang tak dapat tapak rumah dan masih menyewa di luar kampung ini.

Artikel Berkaitan:

“Kawasan ini ialah penempatan terbaru penduduk yang terjejas kerana hakisan laut. Permulaannya penduduk Pantai Sabak dipindahkan ke Blok A dan Blok B (Padang Jepun, Pulau Gajah) dan Kampung Baruh Masin yang terletak berdekatan,” katanya.

Katanya, kini Mukim Sabak mempunyai beberapa buah kampung termasuk Kampung Kemerok, Baruh Masin, Sabak Tengah, Sabak dengan bilangan kira-kira 1,500 keluarga.

Rumah masuk pasir

Bagi seorang lagi penduduk, Raja Zainab Raja Abdullah, 65, berkata, siri hakisan yang berlaku agak lama sebelum dia sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah.

“Rasanya sudah 20 tahun kami berpindah di penempatan baru ini selepas rumah roboh akibat dihempas ombak.

“Menjadi kelaziman apabila air pasang dan ombak menghempas kediaman kami membawa sekali pasirnya.

“Bila dah tak dapat bertahan kami pindah ke rumah ibu yang agak jauh sedikit dari pantai dan rumah itu masih kekal hingga sekarang tetapi sudah tidak berpenghuni selepas ibu meninggal dunia,” katanya.

Rumah dihempap pokok kelapa

Seorang penduduk asal Kampung Sabak, Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud, 55, berkata, kira-kira 15 tahun lalu ketika kampung mereka diancam hakisan, keluarganya terlebih dahulu berpindah ke tempat lain sementara dia sendirian masih setia menunggu rumah pusaka keluarganya.

“Lama juga saya tinggal di rumah kerana sayangkan rumah itu. Kalau rosak bahagian belakang saya robohkan bahagian itu sedikit demi sedikit.

“Masa tu saya masih bujang dan saya tunggu rumah tak sampai setahun. Di belakang rumah ada dua pokok kelapa berdekatan pantai. Satu hari mak datang suruh tinggalkan rumah dan ikut dia balik ke rumah sewa keluarga.

“Mujurlah saya ikut mak balik malam itu dan esoknya bila saya balik, rumah kami dah dihempap pokok kelapa berkenaan,” katanya.

Kini, Mohd Rosdi yang sudah mendirikan rumah tangga bersama Salma Che Man, 56, mempunyai tujuh anak tinggal di penempatan baru yang terletak beberapa ratus meter dari pantai.

Mohd Rosdi berkata, pada mulanya hanya benteng pasir dibina di pesisir pantai sepanjang 40 kaki dari daratan namun ia hanya bertahan tidak sampai setahun.

Katanya, ancaman hakisan berlaku pada sebelah malam ketika air pasang dan jika tiada benteng sudah pasti Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak yang terletak berhampiran pantai juga akan ditelan laut.

Menurut Mohd Rosdi, hampir setiap minggu akan ada rumah yang perlu dirobohkan kerana dibadai ombak.

“Sekarang ini pantai dah tak ada dan kita boleh lihat terus Pantai Cahaya Bulan (PCB) dari sini. Kalau dahulu kita tak nampak PCB dari sini kerana terlindung di Pulau Pak Amat, namun kini pantai sepanjang kira-kira tujuh kilometer dah terhakis dari Kuala Senak ke PCB,” jelasnya.