LRA SSP Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang mula beroperasi

Pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa dihentikan operasi dan memberi kesan kepada lebih sejuta pengguna.
Pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa dihentikan operasi dan memberi kesan kepada lebih sejuta pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta LRA Rantau Panjang yang ditutup semalam susulan pencemaran diesel telah mula beroperasi semula pada kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya kini masih dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras air dalam kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan bekalan air secara berperingkat.

"Bantuan lori tangki akan digerakkan untuk diberi kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan, berikutan insiden ini melibatkan gangguan berskala besar, pelanggan diminta mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Setempat dan pili awam bagi mendapatkan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdul Raof, pihaknya dengan bantuan agensi berkaitan sedaya upaya memberikan bantuan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: 1,133 kawasan alami gangguan air hari ini

Semalam, Air Selangor memaklumkan bahawa pencemaran minyak diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang daripada sumber air mentah Sungai Selangor.

Susulan itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada pukul 6 petang semalam disusuli LRA SSP3 pada pukul 8 malam serta LRA SSP1 dan LRA SSP2 pada 8.15 malam semalam.

Ia merupakan penutupan kali kedua buat keempat-empat LRA berkenaan dalam tempoh kurang dari seminggu dengan penutupan pertama dilakukan pada Jumaat lepas susulan pencemaran bau. -Bernama

Artikel Berkaitan: