Apabila pak belang masuk kampung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADA Khamis lalu, satu Malaysia gempar apabila dua ekor harimau belang masuk ke Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu.

Kehadiran dua haiwan karnivor itu menyebabkan penduduk kampung tersebut berada dalam ketakutan apatah lagi ada seorang penduduk kampung itu ‘disapa’ harimau itu.

Walaupun kedua-dua raja rimba itu kelihatan jinak tetapi harimau tetap harimau. Bila-bila masa sahaja mereka boleh bertukar menjadi ganas dan mengancam nyawa manusia.

Bagaimanapun, timbul pula persoalan bagaimana haiwan itu boleh masuk ke kawasan manusia.

Sebelum ini kita sudah biasa dengar ada orang cedera atau maut dibaham harimau tetapi ia berlaku di kawasan hutan atau pinggir hutan yang mungkin merupakan kawasan mereka mencari makan.

Seperti yang kita ketahui, harimau tidak akan masuk ke kawasan manusia kerana cuba mengelak nyawa mereka diancam.

Malah kita juga sudah biasa dengar gajah masuk ke kawasan kampung dan musnahkan tanaman penduduk semata-mata untuk mencari makan.

Mungkin haiwan-haiwan liar ini masuk ke kawasan manusia di sebabkan habitat asal mereka diterokai dan dimusnahkan oleh manusia.

Artikel Berkaitan:

Ini menyebabkan sumber makanan mereka sudah pupus menyebabkan haiwan mencari makan di kawasan baharu termasuk juga di kawasan manusia.

Oleh itu kerajaan perlu mewartakan lebih banyak kawasan hutan simpan kekal agar haiwan-haiwan liar ini tidak keluar dari habitat asal mereka.

Sekiranya kerajaan tidak mengawal aktiviti penerokaan hutan yang semakin berleluasa, tidak mustahil manusia selepas ini akan berkongsi tempat tinggal dengan harimau serta haiwan liar yang lain.