Durian tarikan agro pelancongan baharu Pahang

Mohd Sharkar (kiri) ketika melakukan pelepasan larian, 100 Tahun Bukit Fraser baru-baru ini.
Mohd Sharkar (kiri) ketika melakukan pelepasan larian, 100 Tahun Bukit Fraser baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Buah durian berpotensi menjadi tarikan agro pelancongan yang terbaharu di negeri Pahang, terutama bagi pencinta buah-buahan tempatan.

Pengarah Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, susulan daripada itu, daerah Raub dilihat semakin popular dengan pengeluaran durian Musang King yang lebih sedap dan terkenal di negeri ini.

Menurutnya, keadaan cuaca dan tanah serta bentuk muka bumi di Pahang sesuai dengan tumbuhan tersebut.

"Baru-baru ini diadakan Pesta Durian anjuran Pejabat Daerah Raub bersama Persatuan Pengeluar Buah Durian.

"Daripada 20 pengeksport yang diberikan lesen oleh kerajaan, salah satu daripadanya adalah pengeluar dari Raub. Saya difahamkan mereka sudah mula menembusi pasaran Cina.

"Ini menunjukkan potensi tanaman buah-buahan ini menyemarakkan lagi industri agrotourism di Pahang boleh diketengahkan dan diperbesarkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan 100 Fun Run 2019 Sempena Sambutan Ulangtahun Bukit Fraser yang ke-100 tahun.

Sebelum itu, beliau mengiringi Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin merasmikan majlis pelepasan peserta larian.

Hadir sama, Pengarah Urusan Media Ventures, Faisal Romli; Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Wan Alhamdulillah Abd Rahman; Naib Yang Dipertuanya, Adnan Che Kob dan Pengurus Kanan Pembalakan dan Promosi Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, Tourism Pahang merangka pelbagai aktiviti sepanjang tahun bagi memangkin kehadiran pelancong ke Bukit Fraser sempena sambutan ulangtahun tanah peranginan itu yang ke-100 tahun.

Selain Pesta Durian katanya, acara larian itu salah satu langkah bagi mempromosikan Bukit Fraser kerana mendapat penyertaan kalangan peserta luar negara bagi kategori Terbuka Internasional dengan penyertaan 15 peserta.