Pencemaran air disyaki tindakan sabotaj: Xavier

Gambar kecil: Dr Xavier
Gambar kecil: Dr Xavier
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesyaki pencemaran yang mengakibatkan empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor terpaksa ditutup semula hari ini sebagai tindakan sabotaj.

Justeru, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan dan memastikan dalang di sebalik insiden terbabit diberkas dan dihukum dengan berat di bawah akta sedia ada.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius insiden terbaru pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi hari ini.

Menurutnya, insiden itu membebankan pengguna air di Selangor dan boleh dianggap sebagai satu tindakan sabotaj.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan siasatan terperinci tentang punca kejadian tersebut.

"Saya juga telah hubungi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk membincangkan situasi terkini. Dua kejadian pencemaran dalam tempoh kurang tiga hari tidak boleh dipandang sewenangnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Xavier berkata beliau juga sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai insiden terbabit.

Katanya, beliau memohon pihak polis untuk sama-sama menjalankan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin pastikan bahawa dalang di sebalik insiden ini dapat diberkas dan dihukum dengan berat di bawah akta-akta yang sedia ada," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan bekalan ini merupakan insiden kedua dalam tempoh tiga hari melibatkan penutupan kempat - empat LRA yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan.

Menurutnya, pelanggan terjejas termasuk di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

ARTIKEL BERKAITAN: 1,133 kawasan alami gangguan air hari ini