500 peserta meriahkan Fun Run Kuala Berang 2019

Rosol mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan peserta Sihat Milikku Fun Run Kuala Berang 2019 di Waterfront Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.
Rosol mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelepasan peserta Sihat Milikku Fun Run Kuala Berang 2019 di Waterfront Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Program Sihat Milikku Fun Run Kuala Berang 2019 berjaya menarik penyertaan kira-kira 500 peserta pelbagai peringkat usia termasuk golongan kanak-kanak.

Larian santai sejauh 5km bermula dan berakhir di Waterfront Kuala Berang semalam dianjurkan Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (Kesukses) Cawangan Hulu Terengganu.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid diiringi Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Kasemani Embong serta Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Dr Noriah Mahmud.

Menurut Noriah yang juga pengerusi jawatankuasa pengelola program, program larian itu sempena Kempen Gaya Hidup Sihat bagi promosikan kesihatan serta meningkatkan usaha cegah penyakit berkaitan cara hidup tidak sihat.

"Kempen ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penyakit, tumpukan aspek promosi amalan yang boleh memperbaiki taraf kesihatan masyarakat dan yang ketiga membawa tema Sihat Sepanjang Hayat.

"Penting bagi masyarakat sedar bahawa kesihatan mereka adalah hak milik dan tanggungjawab sendiri, jadi perlu ambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan kesihatan diri.

"Perlu difahami juga bahawa penjagaan kesihatan bukanlah tanggungjawab sepenuh anggota atau kakitangan jabatan kesihatan tetapi diri sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, larian merupakan satu aktiviti fizikal atau riadah popular di negara ini, selain penganjuran program berkenaan secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara pelbagai pihak serta tingkatkan kecergasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia juga satu pendekatan bagi mempromosikan aktiviti larian kepada masyarakat setempat selain memastikan aktiviti kecergasan menjadi amalan dalam kalangan kakitangan kesihatan.