Kemas institusi penting lahirkan generasi cemerlang

Mukhriz bersalaman dengan pasukan perlawanan akhir acara futsal sempena Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Peringkat Kedah.
A
A

MERBOK - Kerajaan negeri menyifatkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sebagai ejen penting dalam mewujudkan keamanan negara melalui pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, agensi tersebut perlu memainkan peranan proaktif dalam membentuk generasi pelapis yang akan memastikan kestabilan negara melalui institusi pembelajaran.

Menurutnya walau bagaimapun, semua pihak berperanan melahirkan generasi berkualiti demi masa depan.

"Dalam konteks negara sekarang, saya berharap semua warga Kemas, ibu bapa dan pengerusi Tabika Kemas memainkan peranan mempengaruhi masyarakat untuk memastikan perpaduan, keharmonian dan keamanan negara terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas peringkat negeri Kedah di Maktab Rendah Sains Mara Merbok hari ini.

Hadir sama, isteri menteri besar, Tok Puan Norzieta Zakaria; Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas Malaysia, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Dalam acara berkenaan, Mukhriz turut berkesempatan menyempurnakan acara sepak mula perlawanan akhir acara futsal antara pasukan Kemas Padang Terap dan Langkawi.

Sementara itu, Pengarah Kemas Kedah, Zamri Muhamad berkata, seramai 850 kanak-kanak seluruh Parlimen di Kedah mempertaruhkan enam acara antaranya futsal, bola jaring, gerak kreatif, 'rounders', formula one dan 'sprint hurdles relay' di mana pemenang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Universiti Sains Malaysia pada 5 hingga 9 September 2019.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia