Ulang tahun ke-50 misi ke bulan

Gambar yang memaparkan wajah Armstrong dengan jelas ketika beliau berjalan di permukaan bulan ditemukan oleh jurugambar amatur British, Andy Saunders. - Foto: Andy Saunders /NASA
A
A

HOUSTON - ‘Ini adalah satu langkah kecil untuk manusia, satu lompatan besar untuk seluruh manusia’.

Kata-kata itu pertama kali dilontarkan Neil Armstrong ketika beliau menjadi angkasawan pertama menjejakkan kaki di bulan 50 tahun lalu yang turut diraikan peminat angkasa lepas di seluruh dunia semalam.

Detik bersejarah pendaratan Apollo 11 di bulan pada 1969 yang menjadi pencapaian terhebat manusia itu turut disaksikan lebih setengah bilion penduduk di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), ulang tahun ke-50 itu telah menghidupkan semula semangat orang ramai untuk melakukan penerbangan ke angkasa lepas yang mana Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) turut mengumumkan rancangan misi baharu ke bulan dan Marikh.

Tanggal 20 Julai 1969 pada jam 4.18 petang, modul lunar yang membawa Armstrong dan rakan angkasawan, Buzz Aldrin mendarat di Sea of Tranquility selepas melalui perjalanan selama empat hari.

NASA turut memainkan semula rakaman asal disiarkan stesen CBS.

“Houston, Pangkalan Tranquility di sini. The Eagle telah mendarat,” kata Armstrong ketika itu.

Sejak beberapa minggu lalu, NASA telah meraikan ulang tahun bersejarah itu dengan pameran dan pelbagai acara diadakan di seluruh negara termasuk menayangkan roket Saturn V dan klip misi tersebut pada Monumen Washington.

“Mengimbas kembali, pendaratan manusia di bulan bukan hanya pekerjaan kami, namun ia adalah peluang bersejarah untuk membuktikan kepada dunia semangat tidak putus asa Amerika,” kata Aldrin, 89, menerusi Twitter.

Terdahulu, Timbalan Presiden, Mike Pence menyampaikan ucapan dari Cape Canaveral di mana Armstrong, Aldrin dan Michael Collins berlepas ke bulan.

Ketiga-tiga mereka dilahirkan pada 1930 dan Armstrong meninggal dunia pada 2012.

“Apollo 11 adalah satu-satunya peristiwa pada abad ke-20 yang mempunyai peluang untuk terus diingati pada abad ke-30,” kata Pence.

Acara ulang tahun itu turut menyaksikan angkasawan AS, Itali dan Rusia berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Alexander Skvortsov dari Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos), Andrew Morgan dari NASA dan Luca Parmitano dari Agensi Angkasa Eropah memulakan perjalanan selama enam jam ke makmal pengorbit itu dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia