UTHM tingkatkan kesedaran budaya wakaf

Nooh (dua dari kiri) sewaktu merasmikan Seminar Munaqasah Ilmu Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan di UTHM, Batu Pahat.
Nooh (dua dari kiri) sewaktu merasmikan Seminar Munaqasah Ilmu Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan di UTHM, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited dalam mengetengahkan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang manfaat ibadah ini.

Penasihat Wakaf UTHM, Datuk Dr Nooh Gadot berkata, pihaknya juga kini dalam usaha memberikan pendedahan kepada institusi pendidikan di negara ini agar dapat merancakkan gabungan aktiviti pendidikan dengan wakaf.

Menurutnya, usaha ini akan dimulakan di negeri Johor dan Melaka di mana institusi pendidikan juga digalakkan untuk menjana ekonomi melalui aktiviti wakaf sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan dana daripada kerajaan.

"UTHM telah melibatkan diri di dalam aktiviti wakaf sejak tahun 2017 lagi melalui program Wakaf Tunai Pendidikan UTHM yang digunakan untuk aktiviti hemodialisis dan prasarana di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, dana wakaf berkenaan juga akan digunakan oleh pelajar yang memerlukan melalui pembayaran biasiswa, bantuan kewangan, bayaran yuran serta aktiviti kebajikan dan penyelidikan selain telah memperkenalkan dua program wakaf terbaharu iaitu Wakaf Khidmat Perundingan Profesional dan Wakaf Harta Intelek.

Katanya, Wakaf Khidmat Perundingan Profesional ini adalah melalui pelbagai kerja perundingan pihak UTHM sama ada di dalam serta luar negara dan sebahagian hasilnya akan disalurkan kepada Dana Wakaf Tunai Pendidikan UTHM.

"Begitu juga dengan Wakaf Harta Intelek di mana hasil karya ilmiah dari warga UTHM ini akan disalurkan sebahagian hasil royaltinya yang akan diagihkan kepada penerimanya melalui Lembaga Penasihat Wakaf UTHM.

"Kita berharap dengan adanya aktiviti wakaf di institusi pendidikan seperti di UTHM ini akan dapat membuka mata pelbagai pihak kepentingan wakaf ini dalam memberikan manfaat kepada golongan penerima wakaf berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada 11 Julai lalu, UTHM telah menjadi penganjur kepada seminar ‘Munaqasah Ilmu Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan’, di Dewan Kuliah 2, UTHM Kampus Induk, di Parit Raja, di sini, yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Agama Islam Johor.