Bersatu, PH diperbodohkan DAP, kata Ahmad Zahid

Hantaran di Facebook Ahmad Zahid hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil membela partinya dengan membuat hantaran bahawa pihak sebenarnya kurang bijak adalah Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Zahid yang membuat hantaran di laman sosial Facebooknya turut menasihati Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) agar memisahkan diri mereka dengan DAP.

"Elok sekiranya berpisah dengan DAP. Parti itu (DAP) menjadikan PH sebagai boneka mereka.

"Saya kira eloklah beliau (Dr Mahathir) bermuhasabah dan berusaha berhenti diperbodohkan oleh DAP dalam pakatannya sendiri," katanya dalam hantaran tersebut hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir yang dilaporkan sebuah portal, mendakwa Bersatu perlu mengambil iktibar budaya pemimpin yang mementingkan diri sendiri dengan menyekat penyertaan anggota parti yang lebih cekap daripada dirinya.

"Ini kita dapat lihat di dalam parti yang dinamakan Umno itu," katanya.

Malah Dr Mahathir memberi contoh sikap pemimpin cawangan bekas parti pimpinannya itu yang tidak membenarkan orang yang lebih pandai daripada menyertai parti.

"Ketua cawangan tidak membenarkan orang yang lebih pandai daripadanya menyertai parti.

"Yang boleh menyertai cawangan itu adalah orang yang lebih bodoh. Tetapi mereka tidak boleh hidup selamanya, bila mati pemimpin cawangan itu penggantinya lebih bodoh," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa ketua-ketua UMNO cawangan tidak bodoh seperti yang didakwa bekas Presiden UMNO itu.

"Ketua-ketua UMNO cawangan tidak bodoh, malahan bijak menilai, sabar dan setia dalam perjuangan.

"Mesyuarat Perwakilan 191 UMNO Bahagian, sedang berlangsung dengan penuh bersemangat dan harmoni," jelasnya.