Logo TMM 2020 tekankan alam semulajadi, kebudayaan, kesenian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad esok, memberi penekanan kepada alam semulajadi, kebudayaan dan kesenian.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata persiapan pelancaran sudah lengkap dan sedia dilancar esok.

"Selepas pelancaran (esok), kita akan bergerak ke Kompleks Bunga Raya untuk melihat empat buah livery kapal terbang (yang dibalut dengan logo TMM 2020) iaitu MAS, AirAsia, Malindo dan Firefly," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir, di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Kementerian juga berharap dapat bekerjasama dengan 34 livery pesawat antarabangsa untuk membawa logo TMM 2020.

Beliau berkata, pihaknya memberi fokus kepada tiga kategori selepas melancarkan logo TMM 2020 iaitu jarak dekat, sederhana dan jauh.

"Singapura, Indonesia dan Thailand adalah kategori jarak dekat, bagi jarak sederhana kita fokus China, India, Jepun dan Korea Selatan, manakala Eropah dan Asia Barat bagi kategori jarak jauh," katanya.

Negara-negara itu adalah antara yang sering melawat Malaysia, namun dengan pelancaran logo TMM 2020, ia mampu menggalakkan lagi kedatangan pelancong.

Kementerian juga bekerjasama dengan Sharp, di mana syarikat Jepun itu akan mempromosi Malaysia dan logo TMM 2020 menerusi skrin television di 126,000 premis seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Ini berikutan Sharp mempunyai nilai sentimen kerana jenama itu telah lama bertapak di Malaysia sejak 1974, katanya. - Bernama