Wanita cedera daki gunung naik helikopter ke hospital

Mangsa mengalami kecederaan ketika mendaki Gunung Korbu diterbangkan ke Kem 2 Renjer Tentera Darat, Tambun dengan menaiki helikopter.
A
A

IPOH - Seorang wanita yang mengalami kecederaan ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Korbu, Hulu Kinta hari ini diterbangkan dengan menggunakan helikopter sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Perak, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hisham Zakaria berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 1 pagi tadi.

Menurutnya, setibanya anggota bomba ke tempat kejadian, pengadu memaklumkan seramai 13 orang menyertai aktiviti mendaki Gunung Korbu.

"Terdapat seorang wanita berbangsa Melayu berusia 31 tahun mengalami kecederaan lutut kiri dan berada di Kem Seroja.

"Bertindak daripada maklumat itu, kami menggerakkan dua pasukan khas ke tempat bahagian di mana satu pasukan berada di kaki Gunung Korbu dan satu lagi pasukan berada di Kem 2 Renjer Tentera Darat.

Anggota bomba membantu membawa mangsa wanita yang mengalami kecederaan ketika mendaki Gunung Korbu, Hulu Kinta ke hospital dengan menaiki helikopter petang tadi.
Anggota bomba membantu membawa mangsa wanita yang mengalami kecederaan ketika mendaki Gunung Korbu, Hulu Kinta ke hospital dengan menaiki helikopter petang tadi.

"Pasukan pertama bergerak ke kaki bukit dan meneruskan pendakian menaiki Gunung Korbu untuk ke Kem Seroja," katanya kepada media, di sini hari ini.

Hisham berkata, terdapat sebuah helikopter dari Unit Udara Bomba diterbangkan dari Pengkalan Udara Subang pada jam 1.28 petang ke Gunung Korbu bagi membantu operasi menyelamat.

Menurutnya, mangsa akhirnya dijumpa pada jam 4.41 petang dan dibawa keluar dengan menggunakan teknik 'winching'.

"Mangsa seterusnya diterbangkan ke Kem 2 Renjer Tentera Darat dengan menaiki helikopter itu dan tiba pada jam 5.01 petang.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk menerima rawatan susulan," katanya.

Hisham berkata, operasi menyelamat itu membabitkan keseluruhan kekuatan anggota seramai 33 orang meliputi Unit Udara Bomba, Pasukan STORM, Pasukan MUST, JBPM dan polis.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia