Silibus Tabika Kemas antara terbaik

Rina (lima, kanan) bergambar bersama sebahagian warga kerja Prowheels dan hadirin ketika mengadakan lawatan ke premis terbabit, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan merombak silibus sedia ada yang dilaksanakan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, silibus berkenaan diiktiraf sebagai One of Trusted Brands for Preschool Learning Centre pada 2017 oleh Reader’s Digest Trusted Brands.

Menurutnya, kaedah pendidikan tadika itu juga pernah ditambah baik menerusi modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM).

“Program STREAM dilancarkan Oktober lalu memberi peluang kanak-kanak belajar sambil mengaplikasikan keadaan sebenar. Contohnya di Melaka menggunakan ‘aerospace’ dan di Wilayah Persekutuan ada ‘robotic’. Ia beri peluang kanak-kanak terokai pemikirannya menjadi kritis. Silibus inilah yang kita sedang laksanakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Prowheels (M) Sdn Bhd, di Kampung Kuala Sungai, Kubang Rotan, hari ini.

Rina berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada silibus di Tabika Kemas kurang berkualiti dan wajar dirombak susulan terdapat ibu bapa memilih tadika swasta tetapi kosnya lebih tinggi.

Rina berkata, ibu bapa boleh membuat pilihan kerana yuran di Tabika Kemas jauh lebih rendah berbanding swasta.

“Kebanyakan Tabika Kemas dibina di luar bandar dan ada juga di bandar. Kita memahami kemelut ibu bapa di bandar dan akan terus bina mengikut bajet mereka,” katanya.

Menurutnya, Tabika Kemas Transit turut diwujudkan di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi membantu mengurangkan perbelanjaan ibu bapa.

Beliau memberitahu sebanyak 66 Tabika Kemas Transit di Selangor.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu membiayai 6,300 usahawan dalam bidang automatif sejak 2011 hingga Jun lalu.

“Kementerian peruntukkan RM10.1 juta bawah skim pembiayaan perniagaan Mara dalam bidang automotif untuk tahun ini," katanya.

Menurutnya, seramai 778 usahawan turut menerima kemudahan premis di bawah skim terbabit selain Skim Pembiayaan Teknikal (Putek) dan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM).

“Permintaan pembiayaan sektor automotif meningkat 126 peratus melebihi sasaran bagi program usahawan teknikal.

Menurutnya, Mara akan terus memberi bimbingan dalam bidang keusahawanan, pembangunan infrastruktur, perniagaan dan pembiayaan kepada usahawan melalui peruntukan RM412.5 juta.

“Antara syarikat automotif berjaya dibangunkan Mara ialah Prowheels di Kedah, Aerolines Autotech (M) Sdn Bhd di Selangor dan Jengka Motor Sdn Bhd di Pahang,” katanya.