Lapan beranak tinggal berhimpit dalam bilik kecil

Zuhaida bersama tujuh anak tinggal dalam bilik kecil.
A
A

PADANG SERAI - Lapan beranak terpaksa tinggal berhimpit dalam sebuah bilik sempit yang terletak di Surau Al Qudwah, Kampung Pematang Durian sejak lebih tiga bulan lalu.

Zuhaida Abdul Wahab, 45, berkata, dia terpaksa membawa tujuh daripada 10 anak-anaknya tinggal di surau tersebut selepas bercerai dengan suami.

Menurutnya, dia tinggal bersama anak berusia seawal dua tahun sehingga 13 tahun.

"Anak sulung berumur 21 tahun sedang belajar di universiti dan dua lagi anak berumur 19 dan 16 tahun tinggal di pondok agama. Saya dan suami dah lima bulan bercerai.

"Merata saya duduk termasuklah masjid sebelum bawa anak-anak ke surau ni," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Tambahnya, soal keselesaan terpaksa dilupakan kerana tiada tempat tinggal untuk menumpang teduh.

"Waktu tidur kami akan terpaksa berhimpit-himpit, memang tak selesa tapi nak buat macam mana.

"Waktu hujan lebat air pernah masuk dalam bilik ini. Ular pun pernah menjalar di luar bilik tapi kawasan semak samun di situ telah diracun," katanya.

Mengakui menerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zuhaida berkata, dia masih tidak mampu menyewa rumah kerana tanggungan anak yang ramai selain hutang bulanan sebuah motosikal berharga RM200 sebulan.

Mohd Kamil (kiri), Jusri (tengah) dan Lajnah Kebajikan Pas Padang Serai menyampaikan bantuan kepada Zuhaida.
Mohd Kamil (kiri), Jusri (tengah) dan Lajnah Kebajikan Pas Padang Serai menyampaikan bantuan kepada Zuhaida.

"Motosikal itu untuk kemudahan kami anak beranak-beranak. Tentang rumah sewa saya pernah cari. Tapi kebanyakannya mahal. Di taman kosnya RM400 sebulan. Memang saya tak mampu.

"Saya ada mohon bantuan rumah KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah), tapi tak lulus," katanya yang turut perlu menyediakan susu dan lampin pakai buang untuk anak bongsu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pematang Durian, Mohd Kamil Hashim berkata, sebuah rumah sewa bagi keluarga tersebut telah dikenal pasti.

"Sebagai alternatif, MPKK bersama anak kariah telah mengumpul dana dan sedang memperbaiki sebuah rumah yang dikenakan sewa RM220 sebulan. Dalam masa terdekat mereka sudah boleh tinggal di situ," katanya.

Manakala, Ketua Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Padang Serai, Jusri Mohd Nayan berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Azman Nasrudin diharap dapat membantu keluarga tersebut tinggal di rumah KEDA.

Terdahulu, Mohd Kamil dan Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Padang Serai menziarahi keluarga berkenaan.

Mereka yang berhasrat membantu keluarga ini boleh hubungi Jusri Mohd Nayan di talian 019-4078184.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia