MPKK, Japerun dikesan minta caj

Chee Leong menyempurnakan Program Penyerahan Lampin Pakai Buang Dewasa DUN Kota Laksamana, di Balai Raya Kampung Morten, di sini hari ini.
Chee Leong menyempurnakan Program Penyerahan Lampin Pakai Buang Dewasa DUN Kota Laksamana, di Balai Raya Kampung Morten, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA - Segelintir individu berjawatan dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) dikesan mengenakan caj tertentu terhadap perkhidmatan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, difahamkan kejadian itu berlaku beberapa bulan lalu dan amaran serta ingatan telah dibuat secara terbuka kepada pihak terlibat.

"Walaupun dalam jumlah kecil, ianya tidak patut. Contohnya individu ini tawarkan perkhidmatan dan (dia) minta wang daripada orang awam," katanya sambil memberitahu perkhidmatan disediakan sepatutnya adalah percuma dan tiada bayaran diperlukan apabila berurusan dengan rakyat.

Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyerahan Lampin Pakai Buang Dewasa DUN Kota Laksamana, di Balai Raya Kampung Morten, di sini hari ini.

Chee Leong turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya perkara itu masih lagi berlaku selepas ini.

Menurutnya, bayaran terhadap perkhidmatan tersebut salah di sisi undang-undang dan semua perkhidmatan kerajaan dilarang meminta balasan dan bayaran.

"Saya ingin memberi amaran dan tidak akan berkompromi dengan perkara ini. Tindakan tegas akan diambil kepada pelaku sekiranya tertangkap," kata Chee Leong.

Terdahulu pada program itu, seramai 37 penerima menerima lampin pakai buang dewasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 80 penerima dipilih kerajaan negeri di setiap DUN oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

"Untuk fasa pertama bagi Jun dan Julai, kita baru memperoleh 37 penerima dan dijangka baki 43 akan diperoleh tidak lama lagi serta diagihkan pada fasa kedua nanti," katanya.