Pencemaran air di Selangor: Najib pertikai kenyataan Xavier

Najib mempertikaikan kenyataan Xavier mengenai isu pencemaran air di Selangor menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Najib mempertikaikan kenyataan Xavier mengenai isu pencemaran air di Selangor menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikaikan kenyataan diberikan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berhubung isu pencemaran air berulang di Selangor.

Menurutnya, adakah rakyat boleh menerima jawapan menteri terbabit berkaitan bekalan aur di Selangor dicemari bau tidak menyenangkan.

"Menteri Pakatan Harapan (PH) ditanya soalan ini apabila satu juta penduduk Lembah Klang tiba-tiba hilang bekalan air dua hari lepas. Menteri PH ini tahu bahawa PH telah mengambil alih syarikat air Syabas sepenuhnya sejak tahun 2014.

"Dia sedar PH telah pegang Selangor dan bertanggungjawab ke atas kelulusan kilang-kilang di negeri itu sejak 11 tahun yang lalu. Hanya boleh jawab ini perkara biasa dan bertanya apa yang korang mahu kita buat. Rakyat boleh terima jawapan ini ke?” soal Najib dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Kerajaan PH Selangor juga pernah menuduh kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) sabotaj bekalan air mereka.

"Tapi kini alasan ini juga tak boleh dipakai lagi. Oleh itu, dia tak boleh salahkan Najib, BN atau 1MDB," ujarnya.

Semalam dalam laporan Malaymail, Xavier menjawab 'apa yang anda mahu kami lakukan?' apabila ditaya wartawan mengenai pencemaran air yang kerap kali berlaku di Selangor.

Menurut Xavier, pencemaran bau air di Selangor merupakan perkara agak biasa di negeri itu dan pasukannya telah turun untuk menyiasat serta laporan akan diberikan kepada beliau kemudian.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasinya semalam berikutan pencemaran bau yang dikenal pasti berpunca dari Sungai Liam, Batang Kali di Hulu Selangor.

Hal itu menyebabkan 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pada 19 Julai lalu.