Bot terbakar, 17 nelayan terjun laut

Anggota APMM negeri Perak sedang berusaha memadamkan api kebakaran merebak di sebuah bot nelayan di perairan Pulau Sembilan.
Anggota APMM negeri Perak sedang berusaha memadamkan api kebakaran merebak di sebuah bot nelayan di perairan Pulau Sembilan.
A
A
A

LUMUT - Seramai 17 nelayan bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri selepas bot dinaiki mereka terbakar di perairan Pulau Sembilan, di sini malam semalam.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kejadian kira-kira 10 batu nautika dari selatan Pulau Pangkor itu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, dua aset APMM Perak iaitu bot peronda KM Marlin dan Petir 80 digerakkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan misi bantuan mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, setibanya KM Marlin di lokasi kejadian, kerja-kerja memadam api dijalankan dengan menggunakan peralatan meriam air bot peronda itu, manakala bot Petir 80 melakukan pencarian mangsa di kawasan persekitaran.

"Kesemua 17 mangsa dikatakan terjun ke dalam laut dan diselamatkan bot nelayan yang berhampiran.

"Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan pada jam 1.15 pagi tadi (hari ini).

"Seramai 16 mangsa dipindahkan ke bot KM Marlin untuk dibawa ke jeti berhampiran manakala seorang lagi cedera ringan dipindahkan ke bot Petir 80 untuk dibawa ke jeti perikanan bagi mendapatkan rawatan," katanya kepada media, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua 17 mangsa kebakaran bot nelayan berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke bot KM Marlin untuk diberikan bantuan susulan.
Kesemua 17 mangsa kebakaran bot nelayan berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke bot KM Marlin untuk diberikan bantuan susulan.

Wan Mat berkata, terdapat juga beberapa bot nelayan berhampiran turut membantu memadam api kebakaran.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa ditamatkan pada jam 4.30 pagi tadi.

"Kesemua mangsa selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh seterusnya dibawa ke pejabat APMM Negeri Perak untuk diambil keterangan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat diminta untuk menyalurkan maklumat kepada APMM Negeri Perak di talian 05-6838737 atau tampil sendiri ke Ibu Pejabat APMM Negeri Perak," katanya.