Kementerian minta kastam, KPDNHEP kawal kemasukan vape

Dzulkefly (tengah) bergambar bersama pemenang Tilawah al-Quran Kementerian Kesihatan, hari ini.
Dzulkefly (tengah) bergambar bersama pemenang Tilawah al-Quran Kementerian Kesihatan, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Kesihatan akan meminta kerjasama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) untuk mengawal kemasukan produk bernikotin membabitkan rokok elektronik (e-rokok) atau vape.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, KPDNHEP juga boleh membantu memainkan peranan dalam lambakan vape atau e-rokok ini, misalnya berbincang bersama Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) mengenai standard kawalan produk tersebut dalam negara.

"Dalam pada itu, Jawatankuasa Kerja Pakar yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bersama anggota penguat kuasa farmasi, FCTC dan juga KPDNHEP, termasuk pakar-pakar kesihatan awam, respiratori, teknikal serta pakar penyelidik ditubuhkan bagi mengawal dan memantau pengunaan vape," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan mencari langkah-langkah bersesuaian untuk menangani isu penggunaan vape dalam kalangan masyarakat termasuk pelajar.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tilawah al-Quran Kementerian Kesihatan peringkat Kebangsaan kali ke-30 di Galeri Diraja Tuanku Jaafar, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Baru-baru ini media melaporkan pengunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah bukan sahaja lelaki, sebaliknya pelajar perempuan juga terlibat sama pengunaan rokok elektronik itu.

Artikel Berkaitan: