Perlu kerjasama, main peranan pantau aktiviti mudarat sungai

Xavier
Xavier
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menggesa setiap agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memainkan peranan mencegah aktiviti yang mampu memudaratkan sungai sebagai sumber air mentah utama negara.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, jika PBT peka dengan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku di kawasan seliaan mereka, insiden pencemaran sebegini dapat dielakkan dan sudah tentu tidak akan membebankan pengguna sebagaimana kini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyarankan agar PBT menyita mana-mana premis yang disyaki menjadi penyumbang kepada pencemaran sungai.

"Seterusnya tindakan lanjut termasuk tindakan undang-undang kepada pihak yang terbabit boleh diambil.

"Selain itu, agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar yang bernaung di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta agensi-agensi di bawah kerajaan negeri juga digesa untuk turut sama mengambil langkah proaktif pencegahan melalui aktiviti pengauditan secara berterusan serta penguatkuasaan di sepanjang jajaran sungai sama ada di Selangor mahupun di lain-lain negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Xavier memberi reaksi demikian susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) utama iaitu Loji Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada Jumaat lalu akibat pencemaran bau pada sumber air mentah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa menghentikan tugas loji-loji itu bagi mengelakkan air tercemar dari diproses dan diagihkan kepada hampir 5 juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Xavier berkata, kerja-kerja pemulihan sumber tercemar sedang giat berlangsung dan Air Selangor sedang memulihkan perkhidmatan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga jam 12 tengah hari hari ini, peratusan pemulihan mencapai 94 peratus dan kita jangkakan semuanya akan pulih sepenuhnya pada Rabu ini.

"Serentak dengan insiden ini juga, Air Selangor turut memaklumkan penangguhan kerja penambahbaikan di Loji SSP1 yang pada asalnya dijadual berlangsung pada 23 hingga 26 Julai ini," katanya.

Dalam pada itu, Xavier memberitahu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga akan membuka kertas siasatan serta mengambil tindakan kepada mereka yang dikenal pasti melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Menurutnya, tugas memulihara sumber air bukanlah tugas agensi kerajaan tertentu semata-mata kerana ia juga merupakan tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk memastikan sungai tidak dicemari dan air bersih digunakan secara sewajarnya.