Orang asli Kuala Koh bakal nikmati bekalan air bersih

Rasyidah mewakili Zulpuri menyerahkan sumbangan makanan kepada orang asli Kuala Koh dan Aring 5.
Rasyidah mewakili Zulpuri menyerahkan sumbangan makanan kepada orang asli Kuala Koh dan Aring 5.
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang berusaha mendapatkan sumber air bersih daripada air bawah tanah kepada orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh di sini.

Timbalan Menteri, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sumber air bersih ini adalah langkah terbaik bagi memberi jaminan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat orang asli di kawasan tersebut.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya turut mengadakan beberapa lawatan bagi memastikan usaha ini dapat memberi manfaat kepada lebih 100 keluarga orang asli.

"Kita menerima keluhan daripada penduduk orang asli mendakwa bahawa sumber air di kawasan mereka terjejas akibat aktiviti penerokaan tanah di kawasan berhampiran.

"Mereka masih bergantung sepenuhnya kepada sumber air tandak dan sungai. Jadi, sumber air bersih daripada air bawah tanah ini lebih terjamin untuk kegunaan mereka.

"Kita amat prihatin dengan masalah masyarakat orang asli dan usaha ini akan dilakukan secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, beliau diwakili isterinya yang juga aktivis, Rashidah Ab Rahim, menyampaikan sumbangan makanan kepada masyarakat orang asli di kampung terbabit.

Katanya, sumbangan ini adalah susulan daripada laporan akhbar Sinar Harian yang melaporkan penduduk orang asli Kampung Kuala Koh memerlukan bekalan makanan apabila mereka hanya makan nasi berlauk minyak masak sejak dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bekalan makanan ini merupakan sumbangan daripada NGO yang prihatin dengan nasib yang menimpa masyarakat suku Bateq di Gua Musang.

Sementara itu, ketua kampung, Mohamad Pokok berkata, sejak kisah penduduk kampungnya tular, ramai penyumbang dan NGO tampil memberikan sumbangan.

"Kami berterima kasih kepada penyumbang dan diharapkan masalah utama kami iaitu sumber air bersih dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.