Tiada keperluan untuk bubar Parlimen, kata Mujahid

Mujahid (dua dari kanan) menyempurnakan penyerahan cek replika sumbangan pembukaan akaun SSPN bernilai RM50 kepada 200 pelajar asnaf Parlimen Parit Buntar di Mydin Mall, Parit Buntar hari ini.
Mujahid (dua dari kanan) menyempurnakan penyerahan cek replika sumbangan pembukaan akaun SSPN bernilai RM50 kepada 200 pelajar asnaf Parlimen Parit Buntar di Mydin Mall, Parit Buntar hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Tiada keperluan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membubarkan Parlimen susulan beberapa pemimpinnya termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpalit dengan beberapa isu panas sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, kesemua pihak perlu menuntut pembubaran sebarang agenda sempit yang boleh merosakkan negara termasuk agenda fitnah berkaitan isu perkauman dan agama.

Menurutnya, sejak penularan isu video intim didakwa mirip Azmin dan pendakwaan polis membabitkan dua Exco Perak, beliau amat kesal kes sebegini mengheret seluruh negara dan agensi kerajaan tertumpu ke arahnya, sedangkan ada perkara besar lain perlu diberi perhatian.

"Agenda besar lain dimaksudkan adalah menyampaikan dasar kerajaan dibawa PH dengan lebih berkesan dan membawa makna sebenar perubahan ingin ditonjolkan untuk difahami rakyat.

"Bila rakyat diheret (agenda sempit) sebegini, orang ramai jadi mual dan sudah tentu akhirnya beri kesan negatif kepada kerajaan Pusat.

"Cuma bagi saya tiada keperluan bubar Parlimen kerana sistem pentadbiran negara masih berfungsi baik. Yang perlu bubar adalah agenda sempit merosakkan negara," katanya kepada media pada majlis Karnival Pendidikan dan Kesihatan Bersama Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS di Mydin Mall di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar PH membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan berikutan kerajaan sedia ada gagal memastikan kestabilan dan keharmonian dalam negara.

Mujahid berkata, pihaknya turut berharap semua parti dalam PH kembali fokus dengan tujuan utama rakyat memberi mandat pentadbiran kerajaan kepada mereka dan mengelakkan diri daripada mengetengahkan dasar merosakkan melalui pendekatan politik jijik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, politik seharusnya ditangani PH agar dilihat membina masyarakat dan sebarang persaingan politik perlu diadakan secara sihat bagi melahirkan dasar lebih konstruktif demi manfaat orang ramai.

"Bagi saya terdapat dua jenis politik jijik iaitu perbuatan menularkan video intim dan fitnah mengaibkan bagi tujuan menjatuhkan seseorang serta tular perkara fitnah berkaitan isu perkauman dan agama.

"Bila orang berdebat video tulen atau tidak dan bahas perkara negatif berkaitan perkauman dan agama, akhirnya kita lihat politik tidak ke mana.

"Sedangkan kerajaan PH hendak keluarkan mentaliti rakyat daripada kepompong politik tidak maju ke hadapan.

"Ini cabaran PH untuk berada dalam keadaan kukuh dengan parti-partinya perlu fokus menjayakan dasar dijanjikan kepada rakyat kelak," katanya.