Kerajaan Sarawak terus sokong penganjuran BCF

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
A
A

SIBU - Kerajaan Sarawak akan terus memberi sokongan kepada penganjuran Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara pada masa akan datang.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejak 15 tahun lalu pesta tersebut bukan setakat meletakkan Sibu dalam peta pelancongan antarabangsa malah Sarawak secara keseluruhannya serta menjana pendapatan kepada rakyat.

BCF juga telah memainkan peranan penting di dalam sosialiasi antara peserta-peserta yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama serta merupakan wadah untuk mempelajari dan memperkayakan kepelbagaian budaya.

“BCF sekarang telah berkembang menjadi jenama pelancongan korporat dari Sibu dan wilayah tengah Sarawak," katanya pada ucapan merasmikan BCF ke-15 di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr.Annuar Rapa’ee.

Pesta tahunan anjuran Majlis Perbandaran Sibu (SMC) itu yang berlangsung dari 18 hingga 27 Julai di Dataran Tun Tuanku Bujang mengetengahkan persembahan-persembahan kebudayaan dan kesenian, permainan tradisional serta makanan masyarakat pelbagai kaum negeri Sarawak.

Bresempena dengan pesta itu, SMC akan menganjurkan Festival Tarian Antarabangsa Sibu bagi memberi peluang kepada generasi muda di negeri ini belajar menghargai dan menikmati kepelbagaian budaya di Sarawak. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia