Majoriti pimpinan PKR sokong Anwar

Anwar - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMASKINI] Seramai 120 daripada 140 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepakat dengan resolusi untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar memang sudah jangka Azmin tak datang

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, resolusi bersama itu disepakati selepas selesai Majlis Permukiman Pimpinan PKR di sini tengah hari tadi.

Menurutnya, kesepakatan itu dicapai melibatkan pimpinan parti di seluruh negara termasuklah anggota MPP, Ahli Parlimen, Senator dan ADUN.

“Kami telah berbincang secara jujur, terbuka dan telah mencapai resolusi bersama. Program ini menjadi platform pimpinan bermuhasabah, menggilap kembali idealisme perjuangan, mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti.

“Ia juga untuk menilai kembali rekod perkhidmatan selama setahun sebagai kerajaan Persekutuan. Kami bertekad mengukuhkan PKR sebagai parti tonggak nasional pelbagai kaum.

“Kami dengan ini memberikan sokongan sepenuhnya kepada Presiden untuk memacu dan memimpin PKR menjadi tonggak Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media selepas tamat Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini tengah hari tadi.

Berdasarkan jumlah tersebut, seramai 20 pemimpin masih belum menandatanganinya dan Anwar berpendapat eloklah sekiranya diberi masa untuk mereka membaca resolusi tersebut terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Ini permukiman, yang hadir bincang dan tandatangan. Yang tak hadir kita boleh tanya kemudian. Kita kena beri ruang kepada mereka untuk baca dulu, beri ruang kepada yang tak hadir baca sama ada mereka bersetuju atau tidak.

“Saya tidak fikir ada yang boleh pertikai semangat majoriti besar yang hadir. Kalau 120 orang daripada 140, itu jumlah yang besar,” katanya.

Anwar turut menambah mereka yang belum menandatangani resolusi berkenaan boleh berbuat demikian selepas membacanya.

“(Adakah yang tak tandatangan sebenarnya tak sokong beliau?) Saya ini orang yang positif, janganlah gazet yang negatif. Biar positiflah, bagi ruang kepada mereka,” ujarnya.