Anggota ATM pamer kehebatan

Izuan (dua dari kanan) merangkul johan kategori lelaki terbuka dengan cacatan masa terpantas bagi semua kategori acara 15km.
Izuan (dua dari kanan) merangkul johan kategori lelaki terbuka dengan cacatan masa terpantas bagi semua kategori acara 15km.
A
A
A

ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai Hulu Selangor Ultra Trail (HSUT) bagi jarak 15km dengan cacatan masa terpantas 1 jam 25 minit 31 saat.

Acara larian yang sebelum ini dikenali sebagai Pertak Run menawarkan laluan berbukit dari Kampung Orang Asli Pertak ke Kuala Medang disertai lebih 91 peserta termasuk atlet antarabangsa.

Lima kategori dipertandingkan iaitu lelaki antarabangsa, lelaki dan wanita terbuka (18 hingga 39 tahun) serta lelaki dan wanita veteran (40 tahun ke atas).

Anggota berpangkat koperal di unit 91 Rejimen Semboyan Diraja Kem Kementah, Jalan Semarak Izuan Ismail, 27, muncul johan kategori lelaki terbuka.

Menurut Izuan, dia aktif dalam acara larian sejak 2006 namun pertama kali menyertai HSUT dan menyifatkan laluan berkenaan berada dalam kelas tersendiri dengan tujuh daripada 10 tahap kesukaran.

"Ini acara larian yang ke-10 saya sertai pada tahun ini dan saya akui, laluan berbukit di sini bukan mudah tapi menarik dengan pemandangan air terjun.

"Saya anggap ini sebagai satu latihan mempertingkatkan stamina dan alhamdulillah, saya naik podium setiap kali sertai acara larian.

"Sebelum ini saya tidak tahu di Kuala Kubu Bharu ada acara larian dan jika diadakan lagi tahun depan, saya akan turut serta," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah HSUT pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamin.

Johan kategori lelaki veteran (15km), Mazarul Arif Osman, 44, dari Pekan, Pahang berkata, dia menyertai HSUT sebagai persediaan menghadapai acara larian di Cameron Highlands minggu depan bagi jarak 50km.

Mazarul mencatat masa 1 jam 35 minit 12 saat manakala kategori lelaki antarabangsa dimenangi peserta dari Perancis, Thibault Paquin dengan masa 1 jam 31 minit 09 saat.