Cyberjaya sasar bandar rendah karbon

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli bagi mengikuti program terbabit. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli bagi mengikuti program terbabit. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar
A
A
A

CYBERJAYA - Cyberjaya dalam usaha mencapai status bandar berkarbon rendah dengan mewujudkan lebih banyak ruang hijau dan pelaksanaan program-program alam sekitar.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kawasan itu juga dalam usaha mencapai pengurangan karbon dioksida sebanyak 32 peratus menjelang tahun 2025.

Menurutnya, sejajar dengan kerangka Low Carbon City Framework (LCCF), elemen penghijauan kawasan dalam taman, Cyberjaya dalam usaha mencapai pengurangan karbon dioksida menjelang 2025 nanti.

"Kawasan itu juga dijangka dapat mencapai pengurangan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030," katanya ketika berucap pada Program Tanam Pokok Dalam Bandar Peringkat Negeri Selangor 2019 di Cyberjaya hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan program berkenaan.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin (lima dari kanan) bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tiga dari kanan) berkenan untuk menanam pokok menerusi program berkenaan yang berlangsung di Cyberjaya. -Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar
Sultan Sharafuddin (lima dari kanan) bersama Tengku Permaisuri Norashikin (tiga dari kanan) berkenan untuk menanam pokok menerusi program berkenaan yang berlangsung di Cyberjaya. -Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar

Mengulas lanjut mengenai program itu, Amirudin berkata, secara dasarnya pelaksanaan inisiatif ini menekankan penanaman pokok teduhan yang bersifat rendah karbon terutamanya di dalam kawasan bandar.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 1,500 pokok teduhan dan 3,000 pokok renek akan ditanam melalui program itu yang mendapat penyertaan seramai 2,000 orang peserta terdiri daripada penjawat awam, pelajar institusi pengajian tingga awam dan swasta, pelajar sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Keluasan kawasan penanaman pokok ini adalah 58,669 meter persegi (14 ekar) dan terbahagi kepada dua plot tanaman.

"Plot A (plot VVIP) sebanyak 500 pokok teduhan dengan keluasan 31,523 meter persegi dan plot B (plot peserta) sebanyak 1,000 pokok teduhan seluar 27,146 meter persegi," katanya.

Katanya, selaras dengan konsep pengindahan taman dalam bandar, kawasan penanaman pokok bersempena program tersebut juga turut dicadangkan sebagai Cyberjaya Central Park.

"Ini adalah kerana kawasan hijau dan berkonsep taman dalam bandar mampu menjadi tumpuan serta 'focus point' dalam pembangunan di Cyberjaya khususnya," katanya.