Pas NS yakin bawa aura positif

Rafiei Mustapha
A
A

SEREMBAN - Gabungan antara Pas dan UMNO Negeri Sembilan diyakini dapat memberi aura positif dalam perancangan untuk membentuk kerajaan negeri pada PRU15 nanti.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, pihaknya yakin kerjasama antara dua parti itu mampu menawan 20 daripada 36 kerusi Dun termasuk Dun Sikamat yang kini milik Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Kajian dan penelitian mengenai perkara ini dilakukan berdasarkan data pengundi kedua-dua parti di kawasan Dun dalam PRU14 lalu.

"Hasil kerjasama dan gabungan antara dua parti ini kita yakin dapat membentuk kerajaan negeri menjelang PRU15 nanti," katanya selepas mesyuarat pemilihan jawatankuasa baharu Pas Negeri Sembilan di Kompleks Pas di Jiboi hari ini.

Menurutnya, kedua-dua parti itu juga akan terus berusaha berdasarkan untuk memastikan jalinan kerjasama antara Pas dan Umno ini membuahkan hasil kerana berdasarkan data PRU14 lalu dilihat terdapat peluang untuk menawan kerajaan negeri.

"Insya-Allah, Sikamat salah satu daripada 20 Dun kerusi yang kita boleh tawan dan di Parlimen kita boleh menang lima daripada lapan kerusi. Itupun jika ikut data PRU14 cuma selepas ini kita akan ambik kira pengundi berumur 18 tahun pula," katanya.

Barisan jemaah Perhubungan Pas Negeri Sembilan.
Barisan jemaah Perhubungan Pas Negeri Sembilan.

Pada PRU14 lalu, BN memiliki 16 kerusi Dun manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Bagi kerusi Parlimen, PH menang lima daripada lapan kerusi iaitu Seremban, Rasah, Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson manakala Rembau, Jelebu dan Jempol dimenangi BN.

Dalam pada itu, Rafie berkata, pihaknya membuat pelantikan jemaah kepimpinan baharu Pas negeri dengan menggabungkan golongan agamawan dan profesional.

"Gabungan ini mempamerkan 40 peratus muka baru yang terdiri daripada anak muda, belia dan profesional.

"Memandangkan kerajaan telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, maka kita akan gerakkan semua anak muda dan belia mendekati golongan tersebut supaya mereka terus setia bersama kita," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia