Perkenal semula subjek Sivik di sekolah

Shahaniza (lima dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian karnival tersebut.
A
A

BENTONG - Kerajaan perlu memperkenalkan kembali subjek Sivik sebagai mata pelajaran wajib kepada semua pelajar di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, subjek itu perlu diperkenalkan kembali bagi mewujudkan budaya bermasyarakat dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, subjek Sivik atau yang berkaitan dengan moral juga penting dalam mendidik generasi baharu yang berhadapan pelbagai pendedahan dan cabaran pada masa kini.

"Tidak salah sekiranya subjek pendidikan Sivik yang berjaya membentuk generasi berakhlak sebelum ini diajar kembali dalam menangani pelbagai isu sosial yang timbul dalam kalangan generasi baharu.

"Saya ingin mencadangkan mungkin macam dulu kita ada mata pelajaran Sivik dan tata rakyat yang mana kita belajar mengenai toleransi kaum, hormat menghormati, orang muda hormat orang tua dan sebagainya.

"Jika diperkenalkan semula ia mesti diwajibkan kepada semua sekolah bukan sekolah kebangsaan sahaja tetapi sekolah agama kena ada subjek itu. Sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil mahu pun sekolah tahfiz mesti mewajibkan subjek tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Jom Malaysia:Karnival Lampu diod pemancar cahaya (LED) di Taman Abu Bakar Bentong di sini malam semalam.

Shahaniza berkata, isu keselamatan pelajar di sekolah merupakan isu nasional yang menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya diletakkan kepada kerajaan semata-mata.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia