Permaisuri Tunku Azizah peminat teh!

Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet
A
A
A

KUANTAN - Apakah minuman kegemaran harian anda? Teh atau kopi? Itu antara pertanyaan yang kerap ditanya apabila seseorang itu menjamu selera khususnya di hotel-hotel.

Jika soalan itu diajukan kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, jawapan yang diterima daripada anakanda keempat Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, mungkin adalah teh.

Berkongsi mengenai minat Raja Permaisuri Agong itu, sahabat baik Tunku Azizah, Normala Baharudin, 48, mendedahkan Tunku Azizah merupakan peminat tegar teh dan mempunyai pelbagai koleksi teh dari negara yang dilawati baginda, mahupun yang dihadiahkan oleh kerabat serta rakan taulan.

"Mungkin ramai yang tidak mengetahui bukan hanya minum, Tuanku juga mengumpul koleksi teh dari pelbagai negara. Baginda memang menghargai dan meminati teh," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, baru-baru ini.

Normala yang juga ahli lembaga, Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) menambah, selain teh, baginda juga gemar membaca sehingga memiliki sebuah perpustakaan mini di Istana Abdulaziz di sini.

Katanya, Tunku Azizah yang juga Tengku Ampuan Pahang kelima dalam era Pahang moden itu, gemar membaca buka pelbagai genre, daripada ilmiah sehingga ke fiksyen, menjadikan baginda seorang yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai perkara.

"Baginda juga sangat meminati warna-warna pastel terutamanya biru atau biru turquoise... tapi dalam masa sama, baginda juga bijak menggayakan warna garang yang perlu disesuaikan dengan majlis.

"Jika berkata tentang fesyen, sudah pasti pilihan baginda ialah baju kurung moden. Baginda arif tentang fesyen dan banyak mereka baju, bukan hanya pakaian sendiri, malah seluruh keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, apabila disebut nama Tunku Azizah, katanya pastinya ramai yang mengaitkan baginda dengan tenun Pahang, fabrik kegemaran baginda, yang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke-16.

Normala berkata, ini terbukti apabila kebanyakan pakaian yang digayakan baginda, serta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada majlis yang dihadiri, adalah daripada tenun Diraja Pahang, yang direka sendiri termasuk dari pemilihan warna dan corak.

Dalam soal masakan, kehebatan Tunku Azizah dalam bidang masakan memang tidak dapat dinafikan, namun menurut Normala, puteri raja Johor itu juga berbakat dalam seni jahitan termasuk mengait, sulaman tangan dan jahitan silang serta mencorak batik.

Ada masanya menurut Normala, adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan 'mereka masanya sendiri' untuk melakukan hobi seni jahitan, seperti semasa menunggu ketibaan pesawat di lapangan terbang atau jika menempuh perjalanan yang jauh.

"Sebelum memulakan perjalanan terutamanya jika ke tempat yang jauh, Tunku Azizah akan membawa sebuah beg, yang di dalamnya berisi peralatan untuk seni jahitan seperti jarum dan benang mengait.

"Jika baginda mengajar tentang jahitan khususnya sulaman, baginda bukan hanya melihat hasil akhir... sebaliknya baginda akan meneliti bahagian belakang kerana ia mencerminkan identiti dan perwatakan si pembuatnya," katanya.

Ketelitian Tunku Azizah dan bagaimana baginda sering menitikberatkan kesempurnaan dalam tugasnya, menyebabkan kakitangan dan orang rapat dengannya mencontohi sifat baginda, dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Dalam bidang sukan, Tunku Azizah menurut Normala meminati dan berkebolehan dalam sukan badminton dan golf, namun semakin jarang berpeluang melakukan aktiviti tersebut, kerana kesibukan dalam pelbagai tanggungjawab kepada rakyat Pahang.

"Tapi walau sesibuk manapun baginda, Tunku Azizah ialah seorang yang amat menepati janji. Jika sudah berjanji, walaupun jemputan dihantar setahun yang lalu, baginda pasti sampai kerana tidak mahu mengecewakan rakyat.

"Jika baginda tidak boleh mencemar duli kerana gering atau perlu menghadiri istiadat rasmi negeri atau negara, baginda akan memohon maaf dan sedaya upaya akan menitahkan supaya dihantar wakil," katanya. - Bernama