Rihana dicerai Sultan Muhammad dengan kehadiran dua saksi

Muka hadapan Sinar Harian hari ini dan pengesahan kenyataan mengenai cerai talak tiga Sultan Kelantan.
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam kepada Sultan Muhammad V, Koh Tien Hua menjelaskan bekas Ratu Cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko dicerai talak tiga dengan kehadiran dua orang saksi beragama Islam.

Tien Hua turut menafikan dakwaan Rihana yang dia tidak mengetahui dirinya sudah diceraikan.

“Baginda bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko dengan kehadiran dua orang saksi Islam yang berwibawa berdasarkan undang-undang syariah. Mahkamah Syariah Kelantan telah memberikan kebenaran untuk perceraian serta mengeluarkan sijil perceraian pada 1 Julai lalu.

“Rihana dimaklumkan tentang perceraian yang tidak boleh ditarik balik itu pada 22 Jun melalui peguamnya, Alexander Dobrovinsky & Partners Rusia dan satu salinan sijil perceraian telah diberikan kepadanya melalui peguamnya pada 20 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Untuk rekod, seseorang isteri tidak perlu hadir ke mahkamah syariah untuk mendengar lafaz cerai dijatuhkan kerana suami boleh melafazkan cerai di luar mahkamah sebelum ia direkodkan.

Tien Hua sebelum itu membuat pengesahan mengenai cerai talak tiga Sultan Kelantan ke atas Rihana.

Menurut Tien Hua, firma guamannya sudah menghantar surat cerai talak tiga terbabit kepada pihak peguam Rihana.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Sultan Kelantan sahkan Rihana Oksana dicerai talak tiga

Pengesahan terbaru itu sekali gus menjawab pelbagai teka-teki melibatkan status perkahwinan Sultan Muhammad V dengan Rihana.

“Kami ialah peguam untuk Sultan Muhammad V. Dimaklumkan bahawa baginda telah bercerai talak tiga dengan Rihana Oxana Gorbatenko pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang Syariah dan Mahkamah Syariah Kelantan telah mengeluarkan Surat Perakuan Perceraian pada 1 Julai 2019 mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002.

“Kami juga memohon semua pihak menghormati privasi baginda,” katanya melalui firma guaman Eversheds Harry Elias LLP yang berpangkalan di Singapura.

Spekulasi perceraian Sultan Muhammad V dengan Rihana bermula selepas sijil perceraian yang dilengkapi dengan nombor siri tersebar.

Bagaimanapun Rihana pagi tadi mendakwa kepada sebuah portal berita bahawa dia tidak pernah mendengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka dengan dirinya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia