Era baru peguam syarie

A
A
A

PADA awalnya Profesion Guaman Syarie ini diamalkan oleh peguambela & peguamcara sahaja.

Namun, graduan syariah juga berkemahiran dan mempunyai ilmu dalam bidang syariah dan boleh membantu Mahkamah Syariah untuk membuat keputusan yang adil berdasarkan hukum syarak.

Oleh itu, beberapa orang peguambela dan peguamcara telah bersetuju mengusulkan graduan syariah juga diberikan peranan sebagai peguam syarie.

Usaha dilakukan untuk mengiktiraf lulusan syariah di dalam dan luar negara bagi menjadi peguam syarie.

Negeri-negeri mula menggubal Kaedah Peguam Syariah bagi mengiktiraf orang berkelayakan.

Berdasarkan kaedah ini kebanyakan negeri mula mengiktiraf peguambela dan peguamcara sebagai peguam syarie di samping menerima lulusan syariah sebagai peguam syarie dengan syarat-syarat tertentu.

Apabila telah ramai diterima sebagai peguam syarie timbul pula keperluan untuk mengadakan suatu badan khusus mengawalselia peguam syarie melalui akta/enakmen dan menubuhkan suatu badan bebas peguam syarie yang dikendalikan oleh peguam syarie.

Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil dalam persidangannya di negeri Terengganu telah memutuskan keperluan ini dan telah menggarap beberapa tindakan ke arah itu.

Artikel Berkaitan:

Idea asal adalah untuk mewujudkan suatu undang-undang di peringkat kebangsaan dan mewujudkan Majlis Peguam Syarie di peringkat nasional.

Beberapa tindakan dan perbincangan dilakukan bagi menggubal undang-undang ini.

Namun selepas itu dikatakan pula adalah tidak betul matan perkara adalah ‘peguam’ sahaja kerana peguam syarie beramal di Mahkamah Syariah berdasarkan undang-undang negeri.

Oleh itu pendekatan ini tidak dapat diambil.

Namun, negeri boleh meminta untuk mengadakan undang-undang seragam bagi peguam syarie.

Sekurang-kurangnya dua buah negeri mesti membuat permintaan itu melalui DUN masing-masing.

DUN Melaka telah membuat permintaan itu dan tiada negeri lain yang membuat permintaan yang sama.

Dalam hal ini metodologi ini tidak boleh digunakan.

Etika

Suatu masalah timbul apabila Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan mengambil tindakan menggantung beberapa orang peguam syarie kerana kesalahan etika.

Salah seorang peguam syarie telah mencabar tindakan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan keputusan jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan itu diketepikan dengan kos sebanyak RM5000 dikenakan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Keputusan Mahkamah Tinggi ini dibuat kerana tiada proses undang-undang dinyatakan dalam Kaedah Peguam Syarie untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana peguam syarie.

Oleh itu hak untuk didengar tidak diberikan kepada peguam syarie dan ia merupakan suatu breach of natural justice.

Berdasarkan keputusan itu, MAIWP membuat keputusan membentuk jawatankuasa bagi menggubal Kaedah Peguam Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Jawatankuasa tersebut telah bersidang beberapa kali dan melengkapkan Kaedah Peguam Syarie itu.

Namun, setelah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, ia berpandangan tidak boleh dibuat dalam bentuk kaedah tetapi dalam bentuk Akta bagi Wilayah Persekutuan sahaja.

Oleh itu tidak boleh diwujudkan suatu badan di peringkat Persekutuan dalam Akta Persekutuan bagi mewujudkan Majlis Peguam Syarie Malaysia.

Dalam hal ini Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membentuk jawatankuasa khas untuk mengubah kaedah itu kepada bentuk akta dengan mengambil kira pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Jawatankuasa ini juga telah menggubal draf akta tersebut dengan mewujudkan beberapa badan tertentu dan proses mengambil tindakan tatatertib terhadap peguam syarie.

Draf tersebut hanya dibuat untuk kegunaan peguam syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan tidak diwujudkan Majlis Peguam Syarie Malaysia.

Terkini Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua dengan mengambil kira pandangan jawatankuasa dengan beberapa pengubahsuaian.

Tahniah kepada pihak kerajaan kerana berjaya membentangkan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019. Pada 15 Julai, RUU ini diluluskan dan bermulalah era baru peguam syarie di Wilayah Persekutuan.