Adab dalam berdakwah

A
A
A

PERKATAAN dakwah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud seruan, panggilan atau jemputan.

Pengertian dakwah dari sudut istilah adalah mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dengan mengikut suruhan ALLAH SWT dan petunjuk Rasulullah SAW supaya mereka beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat dengan cara hikmah dan bijaksana.

Baru-baru ini, telah tersebar satu sedutan video berkenaan seorang pendakwah Cina yang mengecam Cina Muslim lain yang dikatakan hanya banyak merungut tetapi langsung tidak melakukan kerja dakwah.

Kata-katanya menggambarkan seolah-olah hanya dia seorang yang berdakwah manakala Cina Muslim lain duduk goyang kaki sambil bersungut di media sosial.

Cina Muslim lain. Katanya, hanya kiasu, kiasi dan kiabo yang bermaksud 'takut kalah, takut mati dan takut bini'.

Bagi saya, walaupun mungkin beliau berniat baik untuk menggalakkan lebih ramai golongan Cina Muslim berdakwah tetapi cara yang digunakan agak keras.

Kenyataan yang dikeluarkan sedikit sebanyak menggores perasaan sahabat-sahabat Cina Muslim yang lain.

Sebenarnya, ramai sahabat Cina Muslim yang turut berdakwah seperti beliau; ada juga yang berdakwah sepenuh masa tetapi hampir kesemuanya mempunyai kerja hakiki lain kerana mereka harus mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, Presiden Malaysian Chinese Muslim Association (Macma), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, merupakan seorang profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM.

Selain daripada tugas-tugas akademik seperti mengajar dan menyelia pelajar, beliau juga melakukan penyelidikan dan telah menerbitkan 364 kertas penyelidikan di jurnal antarabangsa. Kertas penyelidikan beliau telah dipetik oleh lebih 5,000 penyelidik lain dari seluruh dunia.

Walaupun begitu sibuk dengan tugas hakikinya, beliau begitu giat berdakwah dan hampir setiap hari minggu akan berkejaran ke sana sini untuk menyampaikan dakwah.

Lebih mengkagumkan saya, ketiga-tiga anak lelaki beliau merupakan hafiz sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang sains supaya berjaya dunia dan akhirat. Isteri beliau juga merupakan seorang aktivis NGO yang berjiwa dakwah.

Seorang lagi tokoh yang saya kagumi ialah Datuk Dr Fadzli Cheah yang merupakan seorang Pakar Bedah Otak di Ipoh.

Selain mempengerusikan Macma, beliau merupakan Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya, Ipoh serta aktif dalam NGO lain.

Tidak cukup dengan kesibukan sebagai seorang pakar perubatan, beliau masih mencari masa untuk berdakwah.

Beliau tiada masa untuk media sosial, maka mungkin beliau dilihat tidak aktif berdakwah kerana tidak update status setiap masa.

Saya berpandangan kita tidak boleh membandingkan masa yang tokoh-tokoh ini peruntukkan untuk kerja dakwah dengan pendakwah Cina tersebut yang melakukannya secara sepenuh masa.

Sebenarnya, ramai lagi Cina Muslim yang turut berdakwah, baik melalui gerakan Macma mahupun platform lain.

Ustaz Ebit Lew juga berdakwah dan saya suka cara beliau yang lembut dan penuh dengan kasih sayang.

Dakwah

Bukan semua orang berkelapangan untuk melakukan kerja dakwah tetapi mereka tetap mencari masa.

Bukan semua orang dilahirkan dalam keluarga berada; ada yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang tetapi mereka tetap mencari peluang untuk berdakwah.

Maka, saya tidak faham dalam konteks apakah yang disuarakan oleh pendakwah Cina tersebut yang mengatakan mana pergi Cina Muslim lain.

Sebenarnya, selain daripada tokoh-tokoh yang saya sebut di atas, saya paling kagum dengan pendakwah senyap yang bernama Izuan Lee Tian Chuan.

Beliau merupakan anak yatim piatu dan beliau baru memeluk Islam enam tahun yang lepas dan kini aktif berdakwah.

Izuan Lee bukannya anak orang berada. Mujurlah ada rumah teres kos rendah peninggalan mendiang ibu bapanya sebagai tempat beliau berteduh.

Pada waktu siang, Izuan berniaga air yogurt di pekarangan Masjid Binjai manakala pada malam hari beliau bekerja di sebuah hotel di Kota Bharu.

Apabila ada program dakwah atau majlis ilmu, beliau tidak akan berniaga pada hari tersebut serta terpaksa memohon cuti.

Namun, Izuan Lee sanggup demi dakwah. Semoga dipermudahkan segala usaha dakwah Izuan Lee dan diterima sebagai amal kebaikan di sisi ALLAH SWT.