X

Kindly register in order to view this article
!

Sinar Harian menangi dua kategori Anugerah Kewartawanan Kelantan

Zaimatuljuwita (kiri) dan Hazelen (kanan) masing-masing memenangi tempat ketiga bagi kategori Rencana Akhbar Cemerlang dan Laporan Khas Akhbar Cemerlang 2018.
A
A

KOTA BHARU - Sinar Harian memenangi dua kategori Anugerah Kewartawanan Kelantan 2018 anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) semalam.

Zaimatuljuwita Ab Manaf dan Hazelen Liana Kamarudin masing-masing memenangi tempat ketiga bagi kategori Rencana Akhbar Cemerlang dan Laporan Khas Akhbar Cemerlang yang berlangsung di Sam Sweet Gardens.

Majlis yang dihadiri 120 orang pengamal media itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim dalam ucapannya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua agensi yang sentiasa membantu media selama ini.

"Hadiah bagi tempat pertama wang tunai RM1, 000, tempat kedua RM700 dan tempat ketiga RM500. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan yang tak menang boleh cuba lagi tahun depan.

"Kita bertuah tahun ini kerana penilaian dibuat oleh penulis berpengalaman iaitu Ketua Juri, Mohamad Mat Yakim dan Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia, Azahar Kasim," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa; Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kasim; Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon; Komander Maritim Kelantan, Ismail Hamzah dan wakil pelbagai agensi.

Di akhir majlis dua wartawan yang berpakaian mengikut tema iaitu wartawan Harian Metro, Muhamaad Razis Ismail dan Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Rosmiza Kasim masing-masing dinobatkan sebagai 'King and Queen Of The Night'.