X

Kindly register in order to view this article
!

Ungkallicious kucing istimewa dari jalanan

Mohd Fizi dan isteri, Rozita bersama Ungkallicious.
A
A

KUALA NERUS - “Dia haiwan istimewa anugerah Tuhan, di sebalik kekurangan fizikal, Ungkallicious sebenarnya kucing istimewa walaupun diambil di jalanan,” kata Mohd Fizi Abdullah, 43.

Ungkallicious, kucing jantan yang buta mata kanannya diselamatkan Mohd Fizi dan isteri, Rozita Harun, 48, ketika ditinggalkan di sebuah pasar di Alor Gajah, Melaka tujuh tahun lalu.

Katanya, pertama kali melihat Ungkallicious, hatinya tersentuh lalu mengambil keputusan untuk membawa pulang anak kucing cedera dengan mata kanannya hampir terjojol keluar itu.

Mohd Fizi yang mempunyai sebuah 'pet shop' di Melaka berkata, dia tidak pasti punca Ungkallicious buta namun doktor di klinik veterinar berjaya merawat namun gagal menyelamatkan mata kanannya.

"Walaupun Ungkallicious hanya kucing biasa dan cacat, dia tetap menarik perhatian orang dan kami tidak malu untuk membawanya menyertai mana-mana pertandingan kucing seluruh negara.

"Walaupun belum memenangi sebarang tempat utama kategori 'household pet' namun kami bangga kerana mengetengahkan seekor kucing dikategorikan sebagai 'kurang upaya'," katanya.

Walaupun serba kekurangan, Mohd Fizi tetap menganggap Ungkallicious sebagai seekor kucing istimewa.
Walaupun serba kekurangan, Mohd Fizi tetap menganggap Ungkallicious sebagai seekor kucing istimewa.

Mohd Fizi dan isteri ditemui di Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di Gong Badak, di sini hari ini.

Pemuda itu berkata, tidak wajar kita memandang rendah kucing jalanan, tetapi sayangilah haiwan itu kerana setiap ekor yang berada di jalanan itu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Harapan saya, jangan memandang rendah kucing jalanan, tetapi sayangi haiwan tersebut. Tidak kira apa jenis kucing, semuanya akan cantik kalau kita pelihara dengan baik," katanya.

Ternyata niat murni pasangan suami isteri itu menyelamatkan kucing jalanan tersebut tujuh tahun lalu berjaya mengubah kehidupan Ungkallicious yang kini 'montel' dengan berat 5.8 kilogram.

Lebih 30 baka kucing dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, dan China dipamerkan dan dipertandingkan dengan diadili 10 juri profesional termasuk dari Amerika Syarikat.

Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 adalah kolaborasi antara kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Asian Abyssinian Cat Club.