Saran program PATI pulang ke negara asal libatkan Sabah

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pulang ke negara asal (Program Back For Good) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia diadakan di Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program yang akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia wajar dipanjangkan dan melibatkan negeri Sabah.

Beliau berkata, ia memandangkan negeri Sabah mempunyai PATI yang ramai dan masalah itu berlaku sejak sekian lama.

“Pelaksanaan program itu di Sabah amat dinanti-nantikan oleh rakyatnya yang bimbang dengan kehadiran PATI yang ramai. Sejak akhir-akhir ini, ramai PATI dilaporkan terlibat kes-kes jenayah di Sabah termasuk kes bunuh, rompakan bersenjata dan lain-lain.

“Kita berharap program itu dilaksanakan di Sabah kerana ia tidak mengenakan hukuman berat kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta lmigresen 1959/63 (Akta 155) untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan pelaksanaan program itu kelmarin.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, kesalahan PATI membabitkan Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah mengikut Akta 155.

Program berkenaan juga mendapat persetujuan Pejabat Peguam Negara dan akan bermula dari 1 Ogos ini hingga 31 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Manakala bayaran kompaun yang dikenakan ialah RM700 bagi setiap warga asing menyertai program terbabit.