'Rahmatan lil alamin' mampu atasi fitnah melampau: Salahuddin

 Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

MELAKA - Gagasan baharu ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat untuk seluruh alam) yang diketengahkan dalam Konvensyen Nunji (Himpunan Ilmuwan Kebangkitan Baharu) 2019 hari ini adalah sesuatu yang dilihat boleh dibudayakan dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata penghayatan gagasan itu akan menjurus kepada masyarakat hidup secara harmoni dan saling hormat-menghormati.

Konsep ini, katanya, penting untuk dihayati bersama termasuk untuk mengelak sebarang kebencian dan pertelingkahan.

“Jika usaha ini berjaya, negara kita akan menjadi sebuah negara contoh sekali gus rakyat berbilang kaum di negara ini boleh berbangga kerana mereka hidup di bawah ‘rahmatan lil alamin’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen itu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Pengerusi Akademi Nunji Zolkharnain Abidin dan Penasihat Umum Amanah Ahmad Awang.

Salahuddin menjelaskan melalui pendekatan konsep ‘rahmatan lil alamin’, amalan fitnah melampau yang memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara ini turut mampu diatasi.

Dalam pada itu, beliau memuji kerajaan negeri Melaka yang menawarkan diri untuk menjadi negeri contoh dalam melaksanakan konsep ‘rahmatan lil alamin’, khususnya melalui tadbir urus negeri dengan mengutamakan keamanan dan perpaduan.

Dalam ucapan perasmiannya, Salahuddin berkata Nunji bertemakan ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ itu menjadi platform dalam memberi panduan dan pencerahan kepada rakyat bahawa dengan ‘rahmatan lil alamin’ mereka akan hidup dengan selamat dan harmoni meskipun berbilang kaum.

Konvensyen sehari yang dihadiri kira-kira 1,300 peserta itu dianjurkan bagi membincangkan konsep ‘rahmatan lil alamin’ dan ‘maqasid syariah’.

Artikel Berkaitan: