Kerajaan sedia cari sumber kewangan baiki baraj Sungai Melaka

Guan Eng melakukan tinjauan dan melihat sendiri keadaan serta keperluan di stesen pintu kawalan air (baraj) di muara Sungai Melaka hari ini.
Guan Eng melakukan tinjauan dan melihat sendiri keadaan serta keperluan di stesen pintu kawalan air (baraj) di muara Sungai Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan akan mencari sumber kewangan bagi memastikan kerja pembaikan stesen pintu kawalan air (baraj) di muara Sungai Melaka dapat dilaksanakan secepat mungkin dalam usaha mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Saya akan hubungi JPS untuk mendapatkan laporan lengkap sebabnya saya tidak pasti sama ada perlu membuat tender terbuka atau kembali kepada syarikat asal. Saya perlu dapatkan maklumat terperinci.

"Kita tidak boleh berlengah-lengah lagi sebab masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Sekurang-kurangnya kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan tahun ini dan ia akan mengambil masa, mungkin setahun dan mungkin akan menjangkau ke tahun hadapan," katanya.

Guan Eng berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan melihat sendiri keadaan serta keperluan baraj di muara Sungai Melaka di sini hari ini.

Turut sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, hanya satu daripada empat sistem pam di stesen pintu kawalan air di muara Sungai Melaka yang berfungsi, sehingga menjadi punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan rendah sekitar bandar raya ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kos bagi kerja-kerja pembaikan pintu kawalan air berkenaan dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Artikel Berkaitan: