KPKT lantik peguam pemerhati untuk kes Muhammad Adib

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik peguam pemerhati untuk kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lepas.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata, peguam tersebut juga akan membantu polis dan pihak pendakwaan dalam prosiding kes kematian Muhammad Adib.

“KPKT telah melantik peguam, Syazlin Mansor yang akan bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Muhammad Adib dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selain memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Muhammad Adib, peguam pemerhati yang dilantik ini akan turut membantu polis dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes tersebut,” katanya.

Muhammad Adib cedera parah dipukul ketika beliau dan beberapa anggota bomba datang ke kuil tersebut untuk melakukan operasi pemadaman kereta yang dibakar perusuh.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas, hampir seminggu sebelum tarikh pernikahannya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib selamat disemadikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pada 18 Disember lalu.

Artikel Berkaitan: