Pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan: Dr Mahathir

Dr Mahathir diiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di MAEPS Serdang hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir diiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di MAEPS Serdang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Sebanyak 79 daripada 80 cadangan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diluluskan oleh hampir 900 anggota perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas parti itu hari ini.

Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau percaya dengan kelulusan pindaan itu, parti akan menjadi lebih kemas.

Perdana Menteri berkata perwakilan bersetuju supaya parti mempunyai ahli bersekutu bukan Bumiputera, namun tidak bersetuju mereka memegang jawatan dalam jawatankuasa parti.

"Itu pendirian mereka. Oleh kerana ini nampak pendapat majoriti, kita terima iaitu tiada ahli jawatankuasa akan dipilih dengan penyertaan ahli bersekutu atau ahli yang bukan pribumi," katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalannya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan para perwakilan.

Sementara itu, Mukhriz dalam sidang media berasingan menjelaskan pindaan itu dibuat bagi mengemaskini perlembagaan Bersatu supaya sesuai dengan keadaan semasa.

Mukhriz, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti berkata, pindaan itu memberi lebih banyak perincian kepada soal tanggungjawab setiap ahli sehingga pemegang jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian, badan pimpinan negeri sehingga ke majlis kepimpinan tertinggi.

"Disebut juga mengenai kuasa-kuasa lembaga disiplin dan lembaga rayuan. Perlembagaan ini akan diluluskan di peringkat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi), selain MPT akan turut meluluskan peraturan mesyuarat di semua peringkat iaitu induk sampailah sayap Srikandi dan Armada.

Artikel Berkaitan:

"Satu dokumen yang akan diluluskan di peringkat MPT juga ialah kod etika dan tata kelakuan ahli-ahli Bersatu," katanya.

Mengenai cadangan satu ahli satu undi (Sasu), Mukhriz berkata ia hanya akan dilaksanakan bagi pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian, manakala untuk memilih kepimpinan MPT, sistem perwakilan akan digunakan dalam persidangan bahagian.

"Saya jelaskan ia isu secara praktikal. Kalau ‘Sasu’ diamalkan di peringkat MPT sepertimana berlaku di parti lain, mesyuarat ataupun persidangan bahagian di mana pemilihan MPT itu dilaksanakan, mestilah diadakan pada tarikh yang sama.

"Semua ahli mesti hadir di mesyuarat bahagian dan kalau semua ahli terlibat dalam pemilihan maka siapa yang akan menguruskan proses pemilihan?," katanya.

Mukhriz berkata isu Sasu diperdebatkan dengan hangat pada perhimpunan itu yang merupakan proses demokratik yang diamalkan dalam parti dengan membenarkan perwakilan meluahkan pendapat mereka. -Bernama