Satu ahli satu undi dilaksana di bahagian, cawangan: Dr Mahathir

Dr Mahathir (tengah) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (kanan) pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu, hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir (tengah) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (kanan) pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kaedah satu ahli satu undi hanya akan dilaksanakan di peringkat bahagian dan cawangan pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, perwakilan mencadangkan supaya kaedah tersebut turut dilaksanakan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu namun, mengakui ia sukar dilaksanakan kerana mungkin berdepan masalah teknikal.

"Mereka ada bertanyakan tentang pemilihan dan memberi pendapat mengenai sistem satu ahli satu undi," katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Agung Khas Bersatu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

Katanya, Mesyuarat Agung Khas itu diadakan bertujuan untuk meminda perlembagaan bagi tujuan memantapkan lagi parti.

"Kebanyakannya setuju dengan pindaan-pindaan yang telah dicadangkan oleh jawatankuasa pindaan perlembagaan.

"Hanya satu cadangan pindaan tidak dipersetujui oleh perwakilan.Mereka setuju untuk ahli bersekutu iaitu bukan bumiputera. Tetapi bagi jawatankuasa-jawatankuasa tertentu mereka tak setuju.

"Itu pendirian mereka. Oleh kerana nampak pendapat majoriti, kita terima iaitu kita tidak ada ahli jawatankuasa yang akan dipilih dengan penyertaan ahli bersekutu yang bukan Bumiputera," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengharapkan pemilihan parti itu dapat dilaksanakan tahun ini walaupun tiada tarikh ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perdebatan mengenai satu ahli satu undi sukar dilaksanakan di peringkat kepimpinan tertinggi dan bahagian mesti diadakan kerana ia dijalankan pada tarikh yang sama.

"Jika semua ahli terlibat siapa akan laksanakan tugas-tugas pemilihan. Bagi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi proses pemilihan akan dilakukan menerusi perwakilan," katanya.

Jelasnya lagi, Mesyuarat Agung Khas Bersatu turut bersetuju membenarkan pemilihan parti ditunda sehingga 18 bulan dari tarikh yang sepatutnya diadakan.

"Sama ada bulan lain itu perkara lain. Majlis Tertinggi boleh memutuskan jika ditangguhkan selama tiga atau enam bulan.

"Terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum pemilihan itu boleh berlaku, termasuk pembersihan keahlian. Saya akan melaporkan kepada Majlis Tertinggi berapa banyak masa yang diperlukan (untuk isu-isu yang akan diselesaikan). Kalau pun pemilihan berlaku tahun depan ia tidak akan berlaku di luar bulan Jun 2020" katanya.