Yuran pengajian Kolej Felcra tidak naik

Nageeb (kiri) menyampaikan skrol kepada graduan terbaik, Noor Irma (kanan) pada Istiadat Konvokesyen Kolej Felcra kali kedua di Dewan Besar Kolej Felcra di sini hari ini.
Nageeb (kiri) menyampaikan skrol kepada graduan terbaik, Noor Irma (kanan) pada Istiadat Konvokesyen Kolej Felcra kali kedua di Dewan Besar Kolej Felcra di sini hari ini.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Felcra Bhd memaklumkan tiada keperluan untuk menaikkan yuran pengajian di Kolej Felcra milik syarikat berkenaan memandangkan objektif utamanya adalah membantu pelajar luar bandar.

Pengerusi Felcra Bhd, Datuk Nageeb Wahab berkata, walaupun Felcra merupakan sebuah syarikat yang mengutamakan keuntungan ia tidak merancang menaikkan yuran pengajian buat masa ini.

Menurutnya, yuran yang dikenakan kepada pelajar tidak mahal misalnya bagi diploma selama dua tahun enam bulan hanya sekitar RM15,000.

"Kalau kita nak naikkan pun yuran kita kena timbangkan kos kita kerana objektif Felcra melalui Kolej Felcra adalah lebih kepada membantu pelajar luar bandar," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Istiadat Konvokesyen Kolej Felcra kali kedua di Dewan Besar Kolej Felcra di sini hari ini.

Nageeb berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Kolej Felcra akan menaikkan yuran pengajian sama seperti beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kebelakangan ini.

Sementara itu, mengulas mengenai istiadat konvokesyen kali kedua itu, Nageeb berkata, seramai 147 graduan menerima sijil, diploma dan diploma profesional dan menyaksikan graduan Sijil Pengurusan Industri Perladangan (CPIM), Sharifah Noor Irma Suryani Syd Ahmad dinobatkan sebagai graduan terbaik.

"Bagi peringkat sijil seramai 16 graduan menerima Sijil Keusahawanan dan 40 penerima Sijil Awal Pendidikan Kanak-Kanak, manakala peringkat diploma pula serama 22 graduan menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan tujuh Diploma Pengurusan Ladang.

"Selain itu seramai 25 graduan menerima sijil CPIM, 27 penerima Diploma Profesional Pengurusan Industri Perladangan dan 10 penerima Specialist Professional Qualification (SPQ)," katanya.

Artikel Berkaitan: