Subsidi taska untuk pemandu Grab wanita

Steven (kanan) bersama-sama pengendali taska.
Steven (kanan) bersama-sama pengendali taska.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak melancarkan Projek Cita-Nita dengan memberikan subsidi penjagaan anak kepada pemandu Grab wanita berpendatanan B40.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata, inisiatif itu diperkenal bagi membantu wanita berusia di antara 22 hingga 55 untuk kembali bekerja.

Menurutnya, melalui Projek Cita-Nita dengan kerjasama Grab Malaysia ini, seramai 100 pemandu Grab di sekitar Ipoh ditawarkan subsidi penjagaan anak dengan anggaran purata RM150 sebulan selama 12 bulan di tujuh taska yang terlibat.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa peranan wanita harus diiktiraf sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penglibatan mereka di dalam sektor yang mampu menjana pendapatan negara.

"Bagi membangunkan golongan wanita, kerajaan Perak telah berusaha untuk mengadakan perbincangan bersama pihak swasta supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kepada golongan wanita," katanya dalam ucapan Perasmian Projek Cita-Nita Negeri Perak di Pasar raya AEON Big Falim, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Steven Chaw.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Operasi Luar Bandar Grab Malaysia, Justin Tiew dan Pengurus Wilayah Utara Grab Malaysia, TY Teoh.

May Ing berkata, pendaftaran program tersebut akan bermula esok (21 Julai) dan permohonan yang diluluskan akan dimaklumkan kemudian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peserta yang diterima masuk ke dalam program ini boleh menghantar anak mereka ke mana-mana taska terpilih yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat mulai 1 September ini.

"Memandangkan projek ini akan dijalankan dalam tempoh setahun, maka pemantauan yang konsisten akan dilakukan oleh Grab terhadap rakan-pemandu wanita dalam program ini.

"Ini bagi memastikan mereka memenuhi syarat minimum pemanduan untuk terus layak menerima subsidi," katanya.

Menurut May Ing, idea mengetengahkan program ini tercetus daripada sekumpulan individu berfikiran inovatif menerusi Program Pembangunan CEO Muda Axiata.

Beliau berharap usaha seperti itu dapat diteruskan untuk membantu golongan wanita mencapai kerjaya mereka.