Johor sasar lahir atlet E-Sport Olimpik 2024

Pemenang Cabaran E-Sports Sekolah Rendah Johor Piala Aminolhuda Hassan selepas penyampaian hadiah.
Pemenang Cabaran E-Sports Sekolah Rendah Johor Piala Aminolhuda Hassan selepas penyampaian hadiah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor menyasarkan untuk melahirkan atlet bagi menyertai Sukan Olimpik dalam sukan elektronik, e-sukan atau E-Sport lima tahun lagi.

Pengasas E-Sport Johor, Dr Mohd Azlan Ab Jalil berkata, Akademi E-Sports yang dilancarkan di Capital City Mall, Johor Bahru dan kelab E-Sports di sekolah menjadi titik mula ke arah sasaran itu.

"Akademi E-Sport ini yang pertama di Malaysia bagi jenis permainan 'console and mobile' di mana setiap minggu akan ada pelbagai program.

"Daripada ahli-ahli kelab sekolah itu, mana yang berkebolehan dan berminat untuk menjadi pemain profesional, kita bantu serap sebagai atlet Johor. Sebab sasaran kita nak lahirkan atlet ke Sukan Olimpik tahun 2024 dalam sukan E-Sport," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Cabaran E-Sports Sekolah-Sekolah Johor Piala YB Dr Maszlee Malik dan YB Aminolhuda Hassan di Capital City Mall hari ini.

Dalam program tersebut, lebih 200 pelajar dari 53 sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan E-Sport pelbagai kategori termasuk permainan 'Player Unknown's Battlegrounds' (PUBG) dan PES 2019.

Mohd Azlan berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurang 40 pelajar akan menyertai kelab E-Sport di sekolah masing-masing.

"Paling kurang sasaran kita setiap sekolah ada 40 orang dalam satu kelab E-Sport dan setakat ini 40 sekolah sudah tubuhkan kelab manakala selebihnya menunjukkan minat dengan menyertai pelbagai aktiviti berkaitan E-Sport.

"Ahli kelab akan berpeluang dilatih oleh kira-kira 42 pakar dalam permainan yang ada di akademi. Ada juga 'gamers' yang menang anugerah tertentu kita bawa untuk latih pelajar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Azlan Ab Jalil
Dr Mohd Azlan Ab Jalil

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni Kementerian Pendidikan, Suhaimi Sun Abdullah berkata, setiap pelajar perlu menitikberatkan soal disiplin dan pengurusan masa apabila menyertai sukan berkenaan.

"Paling penting disiplin anak-anak ini sebab pihak kita boleh sediakan semua kemudahan tapi akhirnya anak-anak ini yang bawa diri.

"Sebab itu peranan ibu bapa di sini penting sebab anak-anak hanya lapan jam di sekolah selebihnya di rumah, luar sekolah. Cara hidup perlu positif," katanya.

Beliau turut menyifatkan usaha penganjuran program seumpama itu dapat membangunkan potensi sukan elektronik di Johor serta menjadikan negeri ini hab sukan elektronik terbesar di Malaysia.

Katanya, usaha itu merupakan satu inisiatif kreatif dan inovatif dalam membangunkan minat, bakat serta perkembangan dalam melahirkan golongan serba boleh juga bijaksana elektronik.