4,560 karton rokok dirampas

PDRM
PDRM
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sejumlah 4,560 karton rokok pelbagai jenis bernilai kira-kira RM748,320 termasuk cukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam serbuan di tepi Sungai Bagan Tengkorak, Kuala Selangor dekat sini awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kassim berkata, serbuan pada jam 4.30 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai PPM Pelabuhan Klang, selepas melakukan risikan dan intipan selama dua hari di lokasi.

Dalam serbuan itu, PPM turut merampas tujuh kenderaan iaitu empat buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova, dua buah van jenis Toyota Hiace dan sebuah lagi MPV jenis Cherry Easter yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok berkenaan.

"Semasa serbuan , sekumpulan lelaki sedang memunggah rokok ke dalam kenderaan, mereka kemudian cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Markas Polis Marin Pulau Indah di sini hari ini.

"Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota, kami berjaya menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 50 tahun disyaki pemandu, pada masa sama, kita turut mengesan sebuah bot pancung yang menggunakan tiga buah enjin melarikan diri ke laut ketika serbuan dilakukan," tambahnya.

Turut hadir pada sidang ahbar ialah Komander Pasukan Polis Marin KDNKA Bukit Aman, SAC Mohd Yusoff Mamat.

Zainal Abidin berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui kira-kira 4,560 karton rokok pelbagai jenis di dalam beberapa buah kenderaan yang dirampas.

Katanya siasatan lanjut juga mendapati, semua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan semakan ke atas cukai jalan kenderaan itu mendapati ia didaftarkan di bawah sebuah syarikat beralamat di Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih jalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini," katanya.

Katanya lagi, nilai keseluruhan rampasan, termasuk tujuh buah kenderaan itu dianggarkan bernilai RM1.128 juta dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali dan tidak melebihi 20 kali duti kastam terlibat atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali. - Bernama