Wanita jatuh bukit disahkan meninggal dunia

Anggota bomba ketika membawa mangsa turun dari puncak bukit. - FOTO JBPM SELANGOR
A
A

AMPANG - Wanita yang dilapor terjatuh dari ketinggian 15.24 meter dari puncak Bukit Batu Condong, Kemensah, pagi tadi disahkan meninggal dunia selepas mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, terdahulu pihaknya mengambil masa hampir satu jam bagi membawa mangsa turun menggunakan pengusung dari puncak bukit.

Menurutnya, wanita berusia 31 tahun yang jatuh di kawasan batuan di tebing curam puncak bukit tersebut tidak sedarkan diri ketika operasi menyelamat dilaksanakan.

“Mangsa dikenali sebagai Syarfalili Shaharir itu didapati mengalami kecederan teruk di bahagian kepala dan kaki.

“Mangsa dibawa turun oleh anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM dan operasi menyelamat turut dibantu beberapa agensi lain,” katanya.

Mangsa yang dilaporkan terjatuh dari ketinggian 15.24 meter dari puncak Bukit Batu Condong, Kemensah, pagi tadi disahkan meninggal dunia. - FOTO JBPM SELANGOR
Mangsa yang dilaporkan terjatuh dari ketinggian 15.24 meter dari puncak Bukit Batu Condong, Kemensah, pagi tadi disahkan meninggal dunia. - FOTO JBPM SELANGOR

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 9.12 pagi tadi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi dan tiba 17 minit kemudian di laluan masuk untuk mendaki ke bukit tersebut.

“Ketika operasi menyelamat dilakukan, JBPM turut memohon bantuan khidmat helikopter untuk membawa mangsa keluar dari lokasi itu.

“Bagaimanapun, mangsa dibawa turun anggota STORM menggunakan laluan darat kerana operasi penyelamatan tidak boleh menggunakan helikopter berikutan keadaan angin yang kuat,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilapor mendaki bukit tersebut secara berkumpulan bersama tiga lagi rakannya yang lain pada jam 7.30 pagi.

Mangsa terjatuh ketika dia dan rakannya dilapor turun ke kaki bukit.

ARTIKEL BERKAITAN: JBPM guna helikopter selamatkan wanita jatuh bukit