Kes video: Reman Haziq Abdullah disambung tiga hari

A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh tahanan reman bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan dua individu yang tamat hari ini, disambung tiga hari lagi sehingga Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata selain itu, seorang ahli perniagaan yang ditahan di Shah Alam semalam, turut direman bagi tempoh yang sama.

"Seorang lagi individu yang ditahan bersama ahli perniagaan itu bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan diambil," katanya kepada Bernama.

Sehingga kini, polis telah menahan 11 individu termasuk Haziq Abdullah dengan tujuh daripadanya dibebaskan selepas tempoh reman tamat serta keterangan diambil.

Sementara itu, Huzir berkata pihaknya akan memanggil dua ahli politik bagi membantu siasatan kes video seks yang memaparkan individu mirip seorang menteri.

"Kedua-dua akan beri keterangan dalam masa terdekat," katanya.

Baru-baru ini, klip video seks memaparkan aksi dua lelaki tular di media sosial dan Haziq Abdullah pada 12 Jun lepas mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam rakaman itu.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata analisis CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia