PKR tidak akan pecat Azmin sehingga siasatan polis selesai

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMASKINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehinggalah siasatan video intim mengaitkan beliau selesai.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR juga gembira dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kelmarin berkaitan kes berkenaan.

“Dalam kes ini, terpulang kepada polis untuk buat siasatan. Tapi sebagai ahli dan parti, kami gembira Ketua Polis Negara kata ia adalah negatif (merujuk kepada Azmin).

"Hasil pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Temurapat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini petang tadi.

Ketika diminta mengulas desakan beberapa pihak meminta Mohamed Azmin melepaskan jawatan, Anwar berkata kenyataan dikeluarkan mereka adalah sebelum menerima laporan daripada Abdul Hamid.

“Sebagai contoh kenyataan oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua Penerangan PKR) dibuat sebelum kenyataan Ketua Polis Negara.

“Saya boleh sahkan bahawa kita sebagai parti tidak akan buat apa-apa keputusan sehingga laporan itu selesai,” ujarnya.

Kelmarin, Abdul Hamid mengesahkan kebarangkalian video intim melibatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu mirip menteri itu tulen adalah tinggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, hasil analisis video tidak dapat mengesahkan pelaku itu adalah menteri yang dikaitkan.

"Polis telah menerima hasil analisis daripada pihak CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) ke atas video yang dimaksudkan.

"Kebarangkalian video tersebut tulen (authentic) adalah tinggi dan hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan PKR akan tidak akan bertolak ansur dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat anggota parti terlibat dalam penyebaran video tersebut.

“Berkenaan dakwaan terdapat ahli atau pemimpin parti politik yang terlibat dalam tindakan sebaran video tersebut, PKR tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas.

“Tindakan akan diambil mengikut perlembagaan parti jika terdapat penglibatan mana-mana anggota PKR yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang.

“PKR mengulangi prinsip bahawa kami menolak politik jijik sekeras-kerasnya,” katanya.