Disney's The Lion King kisah pengorbanan dan kasih sayang

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS pengumuman mengenai filem live action (aksi hidup) Disney’s The Lion King sekitar tahun 2016, ramai yang teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan naskhah adaptasi daripada filem animasi klasik berjudul sama yang diterbitkan pada tahun 1994 itu.

Dan akhirnya, filem yang kali ini diarahkan oleh Jon Favreau sudah pun menemui peminat termasuk di Malaysia sejak 17 Julai lalu.

Masih mengekalkan 90 peratus jalan cerita yang sama, secara ringkasnya ia membawa penonton melayari kisah seekor anak singa bernama Simba yang bakal mewarisi taktha bapanya, Mufasa sebagai raja di Pride Lands.

No Image Caption

Bagaimanapun laluan Simba untuk menjadi raja tidak mudah kerana pak ciknya, Scar tekad untuk menumpaskan Mufasa dan menjadi raja.

Suatu hari terjadi satu tragedi yang telah menyebabkan Mufasa terbunuh dan kerana rasa bersalah, Simba telah melarikan diri jauh dari Pride Lands.

Simba yang kepenatan telah pengsan dan dijumpai serta diselamatkan oleh dua sahabat baik, Timon dan Pumbaa. Bermula daripada itu, Simba tinggal dan membesar bersama mereka.

Sementara itu, kacau bilau yang berlaku di Pride Lands mendorong Nala meninggalkan kawanan singa yang lain untuk meminta bantuan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Namun ketika dalam perjalanan dan mahu mencari makan, dia secara tidak sengaja telah bertemu kembali dengan Simba.

Filem live action ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Donald Glover, Seth Rogen, Chiwetel Ejiofor, Alfre Woodard, Billy Eichner, John Kani, John Oliver, Beyonce Knowles dan masih mengekalkan James Earl Jones yang meminjamkan suara untuk watak Mufasa.

Berbalik kepada perjalanan filem ini, secara jujurnya penulis terkesima melihat hasil kerja yang cukup kemas dan teliti membabitkan kesan khas (CGI) haiwan-haiwan di dalam filem ini.

Ibarat menonton program National Geographic, semua haiwan yang ada tampak seolah-olah dirakam terus daripada tempat tinggal mereka di sekitar Afrika.

Jika menyentuh aspek teknikal, penulis tidak nampak kelemahan besar dalam filem ini. Segalanya nampak kemas dan memukau mata.

No Image Caption

Dari sudut jalan cerita pula, penulis merasakan susunan plot kali ini lebih kemas dan tidak terlalu meleret. Malah dialog juga tidak lagi mengikut 100 peratus cerita asal, sebaliknya sudah dipendekkan dan dibuang mengikut kesesuaian.

Ditambah pula dengan lakonan mantap (walau hanya melalui suara) menjadikan kita sentiasa terhibur sepanjang hampir dua jam durasi filem ini.

Secara jujurnya, dari sudut emosi, Disney’s The Lion King ada pakej lengkap itu.

Bukan itu sahaja, memandangkan ia adalah sebuah filem muzikal, jadi telinga anda akan sentiasa dihiburkan dengan pelbagai lagu.

Tidak hanya bergantung kepada jalan cerita dan lakonan semata-mata, ada beberapa nilai murni dan mesej yang disampaikan mengenai kitaran hidup di dalam hutan serta pentingnya kasih sayang dalam hubungan keluarga.

No Image Caption

Secara keseluruhannya, bagi penulis Disney’s The Lion King cukup menghiburkan dan bagi anda yang belum menonton, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.

Scar mempergunakan sekumpulan dubuk demi misi jahatnya.

Kesan khas yang cukup teliti membuatkan anda seolah-olah melihat haiwan sebenar.

Mufasa banyak mengajar Simba tentang tanggungjawab sebagai ketua.