TEKUN sedia bantu anggota koperasi dapat dana pinjaman

TEKUN
TEKUN
A
A
A

TANAH MERAH - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sedia membantu anggota koperasi bagi mendapatkan dana pinjaman daripada agensi itu untuk terlibat dalam pelbagai bidang keusahawanan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, pihaknya akan melakukan kerjasama dengan koperasi yang terdapat di negara ini bagi membantu anggotanya memperoleh dana bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan.

"Kita bukan hanya pergi (beri bantuan) kepada individu namun kita mahu pergi kepada kumpulan, justeru kami mahu melaksanakan kerjasama dengan koperasi bagi membolehkan anggotanya dapat melakukan pinjaman.

"Sebab itu kita menggalakkan koperasi ditubuhkan melalui persatuan bagi membolehkan kita membantu anggota koperasi selain mereka sendiri melakukan kerjasama dengan koperasi yang disertai," katanya kepada Bernama pada Majlis Pelantikan Penaung Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Tanah Merah di sini, hari ini.

Pada majlis itu Mohamad Suparadi menerima watikah pelantikan penaung PPKM Tanah Merah bagi sesi 2019 hingga 2021 bagi menggantikan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Mohamad Suparadi berkata, bagaimanapun pihaknya akan menilai terlebih dahulu sesebuah koperasi sebelum kerjasama dilakukan bagi mengelakkan pelbagai isu berbangkit.

"Begitu juga anggota koperasi, kita meletakkan syarat umur mesti bawah 60 tahun agar hala tuju pinjaman dana itu jelas," katanya.

Beliau turut mengarahkan pegawai TEKUN untuk tidak memilih bulu dalam memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk mendapat bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Dasar baharu, kita tidak memilih warna parti asal mereka yang mahu dapatkan bantuan itu layak kerana kita mahu membina masyarakat yang berwawasan tinggi," katanya. - Bernama