Dua kain rentang provokasi PM letak jawatan

Kain rentang gesa Perdana Menteri meletakkan jawatan di Port Dickson.
A
A

PORT DICKSON - Seorang ahli jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson membuat laporan polis berhubung pemasangan kain rentang yang tertera 'Mahathir Letak Jawatan, Serah Negara Kepada Anwar’.

Megat Muhammad Faris membuat laporan itu di Balai Polis Port Dickson jam 6.35 petang semalam selepas dia dimaklumkan mengenai dua kain rentang berbentuk provokasi terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh memecahbelahkan kesepakatan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Megat menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Port Dickson semalam.
Megat menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Port Dickson semalam.

"Pada jam 4 petang saya selaku AJK Bersatu Bahagian Port Dickson menyedari kehadiran kain rentang ini di sekitar kawasan Port Dickson.

"Tindakan ini mungkin atas tujuan kehadiran Tun di Majlis Retreat Pimpinan Keadilan yang berlangsung di Hotel Hibiscus, Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, dia bersama beberapa sahabat dalam Bersatu telah mencabut kain rentang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Cuma saya ingin menegaskan bahawa selaku anak muda dalam parti Bersatu akan mempertahankan pimpinan parti kami sampai bila-bila. Kami mahu siasatan dijalankan supaya dalang yang membuat provokasi ini ditangkap," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia