Pemandu van maut terkena tayar treler

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di bahagian dada selain patah tangan dan kaki. (Gambar kecil: Tayar tercabut daripada sebuah treler merempuh mangsa yang berhenti di lorong kecemasan.)
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di bahagian dada selain patah tangan dan kaki. (Gambar kecil: Tayar tercabut daripada sebuah treler merempuh mangsa yang berhenti di lorong kecemasan.)
A
A
A

NIBONG TEBAL - Seorang pemandu van maut selepas 'dirempuh' tayar yang tercabut daripada sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 156.1, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa Hawazi Ismail, 47, disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di dada selain kaki dan tangan kiri patah akibat dirempuh tayar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Jawi ke Batu Kawan dikatakan berhenti di lorong kecemasan untuk menukar tayar belakang van yang pecah.

Menurutnya, ketika mangsa mahu meletakkan alat penanda segi tiga kecemasan di bahagian belakang van, secara tiba-tiba sebiji tayar daripada sebuah treler tercabut dan terkena pada mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan kematian mangsa disebabkan kecederaan teruk di bahagian dada," katanya ketika dihubungi di sini.

Shafee berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan masih lagi dilakukan dan pihaknya telah mengambil keterangan pemandu treler berusia 38 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: